Bonus Aidilfitri 2018: Najib umum tanpa peruntukan
Kerajaan mendedahkan janji pemberian bonus Aidilfitri kepada kakitangan awam oleh Datuk Seri Najib Razak di Dewan Rakyat pada Okt 2017 tiada dalam peruntukan belanjawan negara.
Dalam kenyataannya hari ini Kementerian Kewangan menjelaskan Bayaran Khas Aidilfitri 2018 yang disebut Najib semasa beliau membentangkan belanjawan itu tidak lebih sekadar pengumuman biasa.
“Sebenarnya peruntukan bagi pengumuman bayaran tersebut tidak disediakan dalam Bajet 2018. Perkara ini telah disahkan oleh Pejabat Akauntan Negara,” kata kenyataan berkenaan.
Justeru, kata Kementerian Kewangan, peruntukan bagi menyalurkan bayaran khas berkenaan masih perlu mendapat kelulusan parlimen.
Hal itu katanya turut disahkan oleh Akauntan Negara Datuk Saat Esa.
Peruntukan berkenaan, kata Kementerian Kewangan, perlu dibentang sebagai Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan 2018 dan diluluskan apabila Dewan Rakyat bersidang pada Julai nanti.
“Maka, kenyataan Menteri Kewangan baru-baru ini bahawa peruntukan tambahan atau Rang Undang-undang Akta Perbekalan Tambahan untuk bayaran khas Aidilfitri kepada penjawat awam dan pesara masih perlu diluluskan dalam sidang parlimen Julai ini adalah tepat,” katanya.
Bayaran yang dijanjikan Najib – ketika itu memegang jawatan perdana menteri sekali gus menteri kewangan – dinyatakan beliau pada 27 Okt 2017.
Kata Najib semua penjawat awam akan diberikan bayaran khas bernilai RM1,500 dan menerimanya dalam dua peringkat, iaitu RM1,000 pada Jan 2018 dan bakinya menjelang Aidilfitri tahun ini.
Sememangnya pada pembentangan belanjawan itu Najib membuat banyak pengumuman berkaitan insentif kewangan. Antara lain disebabkan ia adalah belanjawan terakhir sebelum pilihan raya umum (PRU) ke-14.
Antara janji dibuat Najib ketika itu ialah:
Bayaran khas one-off RM1,500 kepada 9,800 ketua kampung dan Tok Batin dengan RM1,000 dibayar pada Jan 2018 dan selebihnya sebelum Hari Raya Aidilfitri.
Lebih 65,000 imam, bilal, guru KAFA, guru takmir dan tok siak mendapat bayaran khas RM1,500 dengan RM1,000 dibayar pada Jan 2018 dan selebihnya menjelang Hari Raya Aidilfitri.
Pesara kerajaan menerima bayaran khas RM750 iaitu RM500 dibayar pada Jan 2018 dan RM250 lagi menjelang Hari Raya Aidilfitri.
Ekoran itu kata Kementerian Kewangan ada pihak berpendapat bahawa peruntukan permohonan tambahan untuk bayaran khas sempena hari raya itu memang sudah disediakan dalam Bajet 2018 kerana Najib sendiri mengumumkannya.
Menurut Kementerian Kewangan pada 30 Mei lalu pula Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan penjawat awam di Gred 41 dan ke bawah akan diberi Bayaran Khas Aidilfitri sebanyak RM400, manakala untuk pesara sebayak RM200.
“Oleh sebab itu, Menteri Kewangan Lim Guan Eng menyatakan bahawa kerajaan akan memohon peruntukan tambahan bagi membiayai keperluan perbelanjaan di atas dalam sidang parlimen akan datang,” katanya.