KUALA LUMPUR, 8 APR: Selebriti terkemuka dunia, Chef Wan atau nama sebenarnya Datuk Redzuawan Ismail berkongsi kisah gembira seorang pemandu teksi mengenai kejayaan kerajaan negeri Pulau Pinang yang diterajui DAP di laman sosial Instagramnya, semalam.
Pemandu itu dirakamkan bercerita mengenai pengalamannya menemui pelancong yang rata-ratanya memuji keadaan negeri itu yang bersih serta kesungguhan kerajaan negeri memulihara bangunan-bangunan lama.
Beliau yang tidak mahu dikenali berkata, usaha yang ditunjukkan pentadbiran kini amat berbeza dengan Barisan Nasional (BN) yang pernah mentadbir negeri itu suatu ketika dahulu.
“Saya tak tengok bangsa tak tengok agama tak tengok kulit, siapa yang bagus, saya ikut,” katanya.
Rakaman tersebut turut disertakan dengan catatan Chef Wan yang turut mengakui bahawa pentadbiran kerajaan yang baik dapat dilihat dan terbukti.
“Benar, pentadbiran kerajaan yang baik akan diakui dan dipuji oleh pelancong yang melawat negara kita,” kata Chef Wan.
Beliau turut mengkritik sikap sesetengah pemimpin politik yang sering menggunakan sentimen kaum sehingga menimbulkan rasa muak dalam kalangan rakyat.
“Rakyat sendiri hari ini boleh menilai segalanya dengan permainan kotor dan teruk yang dipentaskan.
“Hanya orang bodoh tidak boleh melihat semua ini seperti masing-masing ada agenda tersendiri kononnya takut itu dan ini.
“Bagaimanapun, kalau kamu jujur dan mahu membawa perubahan untuk negara ini kamu akan buat tanpa apa-apa propaganda yang kita lihat dalam kalangan ahli politik, naik meluat,” katanya. – Roketkini.com