Najib punca kakitangan awam meningkat setengah kali ganda – Tun M
Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau berjaya mengurangkan jumlah penjawat awam melalui dasar penswastaan tetapi bilangan itu meningkat dengan ketara sejak melepaskan jawatan perdana menteri 14 tahun lalu.
Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu mendakwa apabila beliau meletak jawatan sebagai perdana menteri pada 2003, kerajaan mempunyai kurang daripada sejuta kakitangan, tetapi bilangan itu kini meningkat kepada 1.6 juta.
“Ini dilakukan untuk mendapat populariti tanpa memikirkan akibatnya.”
Bekas perdana menteri itu berkata, dengan melakukan penswastaan agensi kerajaan, kerajaan tidak perlu berbelanja lebih untuk membayar gaji kakitangannya.
Dr Mahathir berkata demikian ketika menjawab soalan mengenai jumlah penjawat awam yang ramai pada hari ini.
“Apabila (Datuk Seri) Najib Razak mengambil alih jawatan perdana menteri, bilangan penjawat awam bertambah.
“Kita tidak perlukan ini. Sebahagian daripada mereka bergaji buta, di mana mereka tidak bekerja tetapi masih dibayar gaji.
“Kita perlu memindahkan mereka ke sektor swasta yang boleh menampung mereka supaya kita boleh menjimatkan wang,” kata beliau pada majlis dialog Hardtalk, 8 April lalu
Najib menggantikan Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai perdana menteri pada 2009.
Kerajaan mula melaksanakan dasar penswastaan pada 1980-an, dengan LLN menjadi Tenaga Nasional manakala Jabatan Telekom menjadi Telekom Malaysia atau TM.
Februari lalu, media melaporkan perkhidmatan awam di Malaysia adalah yang terbesar di dunia berdasarkan nisbahnya berbanding saiz populasi, dengan 1 penjawat awam kepada 19.37 rakyat di negara ini.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dipetik sebagai berkata, perbelanjaan kerajaan meningkat secara drastik setiap tahun disebabkan jumlah kakitangan awam yang ramai.
Bagaimanapun, katanya, Putrajaya tidak akan mengambil sebarang tindakan untuk mengurangkan jumlah penjawat awam. FMT