BANGKITLAH WARGA FELDA...JANGAN ANDA SENTIASA DITIPU. ANDA HANYA DIANGGAP BERGUNA SETELAH MEMBERI KEMENANGAN PERCUMA KEPADA Umno YANG MENGGUNAKAN KERINGAT DAN USAHA ANDA SEMATA MATA.
Selain orang Melayu, pihak lain yang barangkali bernasib malang di negara kita ialah para peneroka Felda.
Kedua-duanya, orang Melayu dan peneroka Felda, sering dijadikan sebutan oleh pemimpin-pemimpin UMNO dan kerajaan kononnya untuk diberi pembelaan dan dinaikkan taraf kehidupan, tetapi malangnya kelompok itu jugalah yang paling mundur dan terkebelakang.
Jika mendengar pemimpin Melayu bercakap tentang Melayu sejak dulu, apatah lagi jika menjerit perkataan "Hidup Melayu", aduhh...gegak-gempitanya sehingga berdiri bulu roma dibuatnya.
Namun, lagi kuat menjerit, lagi besar khianatnya mereka. Tidak cukup bersekongkol dengan tauke-tauke Cina mencairkan tanah rizab Melayu, bukan untuk menolong orang Melayu, tetapi lebih bertujuan memperkaya diri sendiri, ketamakan itu akhir-akhir ini melebar sehingga ke negara China jauhnya.
Tidak cukup dengan tanah, projek keretapi, rumah, kondo, pelabuhan, menjaga sempadan dan cara mencegah jenayah telah diserahkan kepada China, terbaru ini dimetrai bahawa program-program televisyen daripada China juga mahu dilambakkan untuk tontotan rakyat kita sekeluarga.
Seperti biasa, pemimpin-pemimpin yang sama tetap menjerit "Hidup Melayu" tanpa henti dan tidak malu pula mengatakan keutamaan mereka tetap membela dan menjaga orang Melayu.
Begitu juga dengan peneroka Felda, walaupun mereka merupakan penentu dan penyumbang kemenangan kepada UMNO dan BN di 54 kawasan Parlimen di seluruh negara, hakikatnya nasib mereka tidak banyak yang dibela.
Di ketika suara-suara bergema mahu membela peneroka, hakikatnya Felda teruskan dijadikan lubuk untuk mengaut kekayaan oleh segelintir mereka yang diberikan amanah untuk menjaganya.
Penangkapan empat pegawai kanan Felda berhubung penipuan dan salah guna kuasa dalam pelaburan penternakan ikan sturgeon bernilai RM47 juta tidaklah begitu menghairankan sebenarnya.
Ini kerana sebelum ini kita juga dihidangkan dengan banyak kes mengenai Felda seperti pembelian hotel dan hartanah mewah di luar negara, pelaburan dalam syarikat yang meragukan, pembelian kondo, pembayaran elaun dan penggunaan apartment untuk anak pegawai yang sedang belajar, pemberian kontrak kepada kroni, pembelian ladang di Indonesia pada harga luar biasa serta berbagai-bagai lagi.
Semua itu tidak sama sekali memberi keuntungan kepada peneroka, sebaliknya hanya orang-orang tertentu yang mengaut laba daripadanya.
Susulan tangkapan empat pegawai Felda semalam, dikhabarkan terdapat dua atau tiga lagi orang kuat agensi itu sedang dalam pemerhatian SPRMdan tidak mengejutkan jika mereka akan turut dicekup sama dalam tempoh terdekat ini.
Dilaporkan ada di antara mereka yang mempunyai berpuluh-puluh kereta, memiliki restoran di beberapa pusat membeli-belah di dalam dan luar negara, selain sudah tentu turut mempunyai rumah besar dan perhiasan mahal-mahal untuk isteri masing-masing.
Sama seperti nasib orang Melayu yang hanya digula-gulakan, tiada apa-apa yang akan berubah kepada kehidupan peneroka Felda selagi UMNO yang menjaga mereka.
Ia seperti meminta memerang menjaga kolam ikan atau musang menjaga reban ayam.
Orang Melayu dan peneroka Felda harus berani membuat perubahan, jika tidak, sehingga tahun 2050 pun, mereka terus menjadi barang mainan dan sekadar modal mengaut sokongan dalam ucapan.
Setelah berkali-kali diperdayakan, menolak UMNO bukan lagi pilihan, tetapi kewajipan. (SH 25/01/2017).