Jentera Pas berhijrah ke Amanah, sedia hadapi PRU – Mat Sabu
Parti Amanah Negara (Amanah) yakin parti itu serta Pakatan Harapan tidak akan berhadapan dengan masalah kekurangan jentera pilihan raya bagi menghadapi pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
Menurut Presiden Amanah Mohamad Sabu, hal itu kerana kebanyakan jentera Pas telah beralih ke Amanah dan akan bergrak kerja untuk Pakatan Harapan pada PRU14.
Tegas beliau, kini jentera pilihanraya itu kini sudah berhijrah bersama Amanah dan parti-parti yang menunjangi Pakatan Harapan tidak perlu gusar, bimbang ketiadaan jentera yang mantap untuk menangani segala kerja pilihanraya dalam PRU14 nanti.
“Dulu-dulu PKR letak poster di markas-markas Pas dan jentera pilihan raya Paslah yang telah menyempurnakan kerja-kerja menampal poster, mengedar risalah dan lain-lain kerja pilihan raya.
“Kini jentera pilihan raya itu sudah berhijrah bersama Amanah dan parti-parti yang menunjangi Pakatan Harapan tidak perlu gusar, bimbang ketiadaan jentera yang mantap untuk menangani segala kerja pilihan raya dalam PRU14 nanti,” katanya ketika berucap merasmikan temu rapat Biro Pilihan Raya Amanah Nasional di Klang hari ini.
Beliau juga berkata, selain jentera pilihan raya Pas juga kehilangan penceramah-penceramah yang biasa memenuhi program ceramah parti itu suatu ketika dahulu.
“Orang tanya, mengapa Pas tak ada buat ceramah lagi macam dulu-dulu. Macam mana nak ada, semua penceramah sudah berada dalam Amanah.
“Ada juga orang tanya, mengapa Pas sekarang dah tak ada program-program pilihan raya. Macam mana nak ada, semua jentera pilihan raya sekarang sudah duduk dalam Amanah,” katanya.