PRN Sarawak: Pakatan Harapan satu lawan satu hadapi BN
Pakatan Harapan (PH) memutuskan untuk menentang Barisan Nasional (BN) secara satu lawan satu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-11 akan datang.
Perkara itu diumumkan Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam sidang media Majlis Presiden Pakatan Harapan pada 11 April.
“Kita membincangkan mengenai pilihan raya Sarawak dan sudah mencapai persetujuan bahawa tidak ada pertindihan kerusi antara kami.
“Alhamdulillah kita sudah mencapai keputusan untuk bertanding satu lawan satu di Sarawak,” katanya di Ibu Pejabat KEADILAN di Petaling Jaya.
Tambahnya, pecahan jumlah kerusi bertanding melibatkan ketiga-tiga parti dalam PH iaitu KEADILAN, DAP dan Amanah bakal diumumkan kelak.
Menurut Wan Azizah, tumpuan utama kempen PH adalah berkisar kepada isu melibatkan milikan Tanah Adat Bumiputera (NCR), kos sara hidup tinggi akibat pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) serta kekurangan infrastruktur di Sarawak .
Sebanyak 82 kerusi dewan undangan negeri akan dipertandingkan pada pilihan raya ini, meningkat berbanding 71 kerusi pada pilihan raya negeri lalu yang diadakan pada 16 April 2011.
Sebanyak 11 kerusi baru diwujudkan susulan persempadanan semula kawasan pilihan raya oleh SPR pada tahun lalu.