KUALA LUMPUR, 13 APRIL: DAP hari ini bersetuju untuk mengadakan debat tentang tanah Taman Manggis yang dikaitkan oleh Barisan Nasional dengan pembelian rumah Lim Guan Eng, dengan syarat ia disiarkan secara langsung (live) di TV3 atau TV1 pada 19 April depan.
Menurut Setiausaha Organisasi DAP Kebangsaan, Anthony Loke, keputusan itu adalah susulan daripada cabaran yang dibuat Ketua Menteri Pulau Pinang terhadap Menteri UMNO, Datuk Abdul Rahman Dahlan untuk mengadakan debat.
“Sebelum ini mereka (pihak Rahman) mencadangkan supaya debat berkenaan diadakan pada 23 April, tapi saya berpendapat ia terlalu lewat memandangkan Pilihanraya Negeri Sarawak akan berlangsung tidak lama lagi. Jadi saya cadangkan lebih awal (19 April).
“Pada 9 April lalu Setiausaha sulit Rahman telah menghantar SMS (khidmat pesanan ringkas) kepada saya untuk mengadakan sesi debat berkenaan pada 19 April di TV3. Kami setuju, Asalkan ia dijalankan secara langsung, itu syarat kami,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat DAP di sini pagi ini.
Bagaimanapun, menurut Anthony yang juga Ahli Parlimen Seremban, jika TV3 tidak bersedia untuk menyiarkan debat berkenaan secara langsung, pihaknya akan kembali kepada tawaran yang diberikan TV1 sebelum ini.
Beliau menambah, TV1 bersedia untuk menyiarkan debat berkenaan secara langsung di studio RTM pada tarikh yang sama.
“Kami telah bersedia untuk 19 April nanti. Ia mestilah selepas slot Buletin Utama dan harus disiarkan secara langsung.
“Setakat ini, tiada respons daripada TV3. Saya sudah cuba untuk menghubungi pegawai Rahman tetapi mereka ke luar negara.
“Satu-satunya yang tidak kami bincangkan lagi adalah mengenai format debat berkenaan dan siapa akan menjadi moderator,” katanya, menambah ia haruslah dijalankan selama satu jam atau lebih.
Malah, menurutnya, DAP juga tidak akan membantah jika debat secara langsung itu diadakan tanpa penonton di dalam studio.
Dalam pada itu, Anthony turut menasihati Rahman supaya tidak menggunakan saranan panel Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar debat berkenaan dibatalkan sebagai alasan untuk lari daripada perbahasan tersebut.
“Kami cukup bersedia. Guan Eng sendiri juga sudah bersedia untuk debat berkenaan. Beliau telah menyenaraikan 15 soalan untuk dijawab Rahman,” katanya.
Kesediaan DAP memberi soalan awal membuktikan parti itu tidak ada apa untuk diselindungkan, malah memberi peluang kepada Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu untuk menyediakan jawapan beliau. – Roketkini.com