1MDB TETAP PERLUKAN SURUHANJAYA DIRAJA, NAJIB DAN JHO LOW MESTI DIJADIKAN SAKSI WAJIB



Walaupun seperti ada percubaan untuk mengalih perhatian dengan membesar-besarkan isu Lim Guan Eng dan tanah Taman Manggis serta larangan ceramah Dr Zakir Naik, batu besar yang menjadi masalah kepada semua rakyat Malaysia  sekarang tidak lain ialah 1MDB.

Kita tidak harus terperangkap dengan isu-isu lain yang mungkin sengaja diada-adakan untuk mengalih perhatian dan mengurangkan tumpuan terhadap 1MDB.
Dulu Najib Razak dan 1MDB sendiri menjanjikan laporan audit menyeluruh mengenai syarikat itu akan menjawab segala-galanya. Malangnya apabila laporan audit  disiapkan, ia kemudian diletakkan di bawah  OSA atau Akta Rahsia Rasmi yang menyebabkan ia menjadi rahsia kepada semua rakyat daripada membaca dan mengetahuinya.

Lalu, pertanyaan ramai termasuk makcik Felda ialah mengapa dijadikan rahsia rasmi negara jika tidak ada perkara yang mahu dilindungkan?
Sudah lupakah janji sebelum ini yang meminta semua orang menunggu laporan audit sambil mengatakan laporan audit  1MDB akan menjawab segala-galanya?

Disebabkan laporan audit telah diOSAkan, lantas menyebabkan Laporan PAC yang dibentangkan di Parlimen tidak mampu menjawab banyak perkara tentang 1MDB ini.

Selain itu, terdapat pula beberapa saksi penting yang menurut Tony Pua ditolak untuk dipanggil memberi keterangan oleh Hasan Ariffin, Pengerusi baru jawatankuasa tersebut yang dilantik menggantikan Nur Jazlan yang dinaikkan pangkat sebagai timbalan menteri di tengah-tengah kemelut 1MDB pada 28 Julai 2015 yang lalu.

Antara saksi yang tidak dipanggil itu ialah wakil Bank Negara, Jho Low, salah seorang bekas CEO 1MDB, Hazeem Abdul Rahman dan sudah tentu Najib sendiri yang tandatangannya semua orang tahu adalah "nyawa"  kepada perjalanan syarikat pelaburan itu.

Malah, seperti yang disebut juga oleh Tony Pua sebelum ini, untuk mendesak agar bekas Pengerusi 1MDB, Mohd Bakke Salleh memberi keterangannya pun hanya menjadi kenyataan setelah beberapa kali desakan dilakukan.

Maka itulah sebabnya laporan PAC banyak cacat celanya dan kecuali pemakan dedak yang berpuas hati dengannya.

Itulah juga yang antara punca menyebabkan kedudukan Aabar Investment PJS Ltd, syarikat yang ditubuhkan di British Virgin Island misalnya, terus menjadi misteri berpanjangan meskipun telah menerima sebanyak AS$3.51 bilion atau lebih kurang RM14,000 juta secara keseluruhan sebagai sekuriti deposit daripada 1MDB.

Dalam kenyataan terbaru kepada London Stock Exchange, IPIC atau International Petroleum Investment Company menafikan Aabar Investment PJS Ltd itu adalah anak syarikat kumpulan mereka atau ada menerima sebarang pembayaran  daripadanya serta menanggung liabitinya.

Makna mudahnya, syarikat itu tidak ada kena mengena dengan IPIC yang ada perjanjian perniagaan dengan 1MDB.

Jadi, kepada siapa sebetulnya duit 1MDB sebanyak itu telah disalurkan dan ke mana akhirnya wang RM14,000 juta tersebut pergi?
Dalam hal ini, oleh kerana beberapa saksi penting tidak dipanggil, laporan PAC yang dibentangkan di Parlimen bukan saja tidak menjawab banyak persoalan, malah disebabkan seluruh dunia turut bercakap mengenainya dan media antarabangsa juga tidak henti-henti mendedahkannya, ia secara tidak langsung mendedahkan lebih banyak misteri 1MDB.

Perjalanan masa juga bakal menyaksikan banyak lagi perkara berkaitan Aabar Investment PJS Ltd, Jho Low, Khadeem Al Qubaishi dan Mohamed Badawy Al Husseiney akan terdedah kepada kita semua.

Laporan PAC sebenarnya telah gagal sama sekali. Tiada kebenaran yang diserlahkan, selain mahu  menjadikan bekas CEOnya, Shahrol Azral sebagai kambing hitam untuk menutup segala kecurangan 1MDB.

Paling wajar untuk dilakukan sekarang ialah dengan menubuhkan sebuah Suruhanjaya Diraja yang diletakkan di bawah tanggungjawab Majlis Raja-Raja dan Parlimen untuk menyiasat 1MDB secara menyeluruh dan saksi-saksi penting seperti Najib dan Jho Low mesti serta wajib dipanggil untuk memberi keterangannya.

Tanpa memanggil mereka itu umpama memesan kari kepala ikan tetapi tiada kepala ikan yang dihidangkan dalam pinggan.

Begitu juga dengan wakil daripada Bank Negara dan segala dokumen transaksi kewangan 1MDB di luar negara mesti diusahakan sedaya upaya untuk diperolehi.

Sessi pendengaran Suruhanjaya Diraja itu pula mestilah dibuat secara terbuka sebagaimana siasatan terhadap mata lebam Anwar Ibrahim dahulu.

Ketika itu, barulah boleh dipercayai segala-galanya akan terdedah.

Tetapi, sebagaimana pernah disebut oleh Zaid Ibrahim, yang paling berkesan sekali untuk mendedahkan kebenaran mengenai 1MDB ini tidak lain ialah melalui pertukaran kerajaan dalam pilihanraya.

Oleh kerana skandal kewangan melibatkan 1MDB ini merupakan yang terbesar dalam sejarah dunia moden, maka tidak dapat dielakkan "cagaran" untuk membersihkannya perlulah sebesar kerajaan BN juga. (SH 12/04/2016).

No comments: