Siapa bakal ganti Tony Pua?
DAP tidak akan membenarkan Tony Pua mengundurkan diri daripada PAC sebaliknya, akan mencari seseorang bagi menggantikan tempatnya untuk berdebat.
KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan akan menamakan seorang anggotanya bagi menggantikan Tony Pua untuk berdebat secara terbuka dengan Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Arul Kanda Kandasamy.
Ketua Whip DAP, Anthony Loke Siew Fook mengumumkan perkara itu selepas Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia memutuskan bahawa anggota Parlimen Petaling Jaya Utara itu perlu meletak jawatan sebagai anggota PAC sekiranya berhasrat untuk meneruskan debat terbuka dengan Arul Kanda.
“DAP tidak akan membenarkan Tony Pua meletakkan jawatan beliau sebagai anggota PAC sebaliknya kami akan berbincang di antara kami untuk mewakilkan seorang daripada wakil kami untuk berdebat secara langsung dengan Arul Kanda (bagi menggantikan Pua),” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, pada Selasa.
Jelas Loke keputusan Pandikar Amin itu tidak akan terpakai sekiranya wakil yang berdebat mengenai isu 1MDB itu bukanlah seorang anggota PAC.
Dalam persidangan Dewan Rakyat hari ini, Pandikar Amin menegaskan sekiranya Pua tidak mahu melepaskan jawatannya dalam PAC, beliau tidak boleh terlibat sama sekali dengan siasatan 1MDB yang sedang dibuat oleh jawatankuasa berkenaan.
Pada masa sama, Arul Kanda yang merupakan saksi utama, juga harus tidak terlibat dalam penyiasatan PAC, menurut Pandikar Amin.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak hari ini menyarankan debat berhubung 1MDB itu diadakan di Studio 1, Radio Televisyen Malaysia (RTM) tanpa penonton dan disiarkan secara langsung bermula 9 malam pada Jumaat ini.