Isu rasuah: ‘Pemimpin kita dipersoal, malukan negara’ – Rafidah Aziz
Amat memalukan apabila rakyat asing tahu keburukan tentang Malaysia,kata Tan Sri Rafidah Aziz yang menyifatkannya sebagai menambah garam di luka.
Bekas menteri Umno itu dalam tulisan di akaun Facebook berkata, Malaysia kini menjadi buah mulut dunia atas sebab “kesilapan dan memalukan”.
“Rasa malu yang ditanggung apabila orang luar membangkitkan tentang kesilapan (yang rakyat sendiri menuding jari kepada pemimpin) sangat menyakitkan…seperti menambah luka dan cuka kepada luka!
“Tetapi kita tidak boleh mengabaikan kritikan dan pemerhatian itu. Mereka betul,” katanya.
Walaupun tidak menyebut mana-mana pihak, Rafidah dipercayai merujuk kepada Persidangan Anti Rasuah Antarabangsa (IACC) di Putrajaya apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ditegur keras pegawai kanan Transparency International (TI) mengenai derma RM2.6 bilion masuk ke akaun peribadinya sebelum pilihan raya umum 2013.
Presiden TI Jose Ugaz berkata, derma daripada Timur Tengah itu mempunyai segala elemen “rasuah besar” manakala pengasas bersama Michael J. Hershman menggesa Najib menjelaskan dana itu.
Malaysia menjadi tuan rumah IACC ke-16 dan Najib disenaraikan menyampaikan ucapan dasar tetapi tidak berbuat demikian selepas dinasihatkan menteri Datuk Paul Low kerana “bimbang kemungkinan sambutan yang agresif” dan “isu peribadi”.
IACC bermula pada Rabu dan berakhir hari hari ini, dihadiri 1,000 delegasi daripada 130 negara.
Rafidah menggambarkan 48 jam sebagai “hari-hari memalukan negara” dan berkata ia merupakan kemuncak selepas apa yang diperkatakan rakyat selama ini, sama ada secara terbuka atau tertutup.
Bekas menteri perdagangan dan antarabangsa itu berkata, perkara utama adalah melibatkan integriti kerajaan dan pemimpinnya, begitu juga isu yang menjejaskan negara.
“Biasanya kita dengan negara luar dikritik kerana rasuah. Hakikatnya kita sendiri mengutuk dan gunakan mereka sebagai contoh kekurangan integriti, tamak dan penyalahgunaan kuasa.
“Kini, dalam persidangan dunia memfokuskan isu rasuah, pemimpin kita sendiri dipersoalkan… kerana beberapa isu yang kita dan majoriti rakyat Malaysia persoalkan,” katanya.
Katanya, apa yang disaksikan rakyat Malaysia sekarang “di luar fikiran” dan mempersoalkan konsep “berkhidmat untuk rakyat dan negara”.
Walaupun tidak menyebut Bersih 4, Rafidah menggesa pihak berkuasa berhenti membuang masa dan tenaga mempersoalkan pihak penganjur himpunan.
“Jika polis tidak tahu, ada sesuatu yang tidak kena dengan mereka. Tumpukan kepada memahami punca rakyat berdemonstrasi… itulah puncanya yang membuatkan mereka turun ke jalanan. Tumpu kepada setiap punca isu dan selesaikannya mengikut undang-undang.
“Kita mesti berusaha untuk memulihkan semula nama baik negara kita,” katanya.
Polis dua hari lalu menyoal siasat pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah dan beberapa individu lain kerana menganjurkan himpunan selama 34 jam.
Polis juga akan menyoal siasat beberapa pemimpin termasuk bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kerana menghadiri himpunan Bersih 4.