Majlis Penasihat Ikatan Amanah tidak sama Majlis Syura Pas – Ahmad Awang

Oleh: Amiruddin Ahmad
Suara PakatanDaily.com

Bekas Naib Presiden Pas Ahmad Awang dipilih menjadi penasihat umum bagi parti Islam baru yang akan dilancarkan bulan depan.
Menurut Ahmad, walaupun jawatan penasihat umum itu dilihat menyerupai mursyidul am Pas, namun terdapat perbezaan bagi dua jawatan tersebut.
Katanya, sebagai penasihat umum, beliau tidak akan campur tangan dalam urusan eksekutif parti dan hanya fokus dalam Majlis Penasihat yang terdiri daripada pakar-pakar dalam bidang tertentu bagi memberi nasihat kepada parti Islam baru itu.
Ahmad berkata lagi, Majlis Penasihat untuk parti Islam baru itu juga akan terdiri daripada golongan ulama serta profesional.
“Kita punya Majlis Penasihat pakar ini tak macam Majlis Syura (PAS). Majlis Syura itu, dia juga dalam Majlis Syura, dia juga (orang sama) di eksekutif. Kita tidak.
“Biar betul-betul duduk dalam Majlis Penasihat dengan kepakaran yang ada dan tak campur tangan urusan eksekutif.
“Baru nanti tak timbul isu, dialah (anggota) Majlis Syura dialah presiden.
“Majlis penasihat pakar itu terdiri daripada golongan ulama dan juga mereka yang pakar dalam bidang lain seperti kemasyarakatan, ekonomi, perbankan,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.
Selain itu, ditanya siapakah lagi individu yang akan turut berada dalam Majlis Penasihat itu, Ahmad berkata perkara itu tidak boleh didedahkan lagi buat masa ini.
“Belum boleh isytiharkan,” katanya ringkas.
Ahmad, bekas presiden 17 tahun Persatuan Ulama Malaysia (PUM), tewas mencabar Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam pemilihan parti lalu.
Parti politik berteraskan Islam yang baru itu diasaskan daripada kumpulan profesional yang kalah dalam pemilihan Pas Jun lalu melalui kumpulan Gerakan Harapan Baru (GHB).
Ia bertujuan untuk memperjuangkan usaha penubuhan gabungan pembangkang.
Pembentukan parti baru yang belum diumumkan namanya itu secara rasmi dijangka akan dibuat menjelang 31 Ogos nanti.

No comments: