Jika kita menggunakan istilah “Leadership of the Clergy” untuk merujuk kepada amalan kepimpinan PAS, ia mungkin akan dirasakan janggal. Bunyinya seolah-olah satu konsep yang diambil dari agama lain di mana wujudnya pembahagian diantara golongan “clergy” dan golongan “lay” atau orang-orang biasa. Namun, itulah hakikat konsep kepimpinan ulama. Ia sangat asing pada Islam dan sebenarnya lebih hampir pada fahaman sekular yang membahagikan di antara urusan agama dan duniawi. Ia seolah satu langkah ke belakang atau “rollback’ yang akan memundurkan PAS.
Namun, implikasi dari perkembangan yang berlaku pada Muktamar PAS ke 61 bukan sekadar satu perubahan semantik semata-mata. Ia juga mempunyai implikasi strategik yang amat ketara. Malahan, ia merupakan kemuncak strategi membina kembali “containment” pengaruh PAS dan melemahkan Pakatan Rakyat.
Sebelum PRU 1999, pengaruh PAS dilhat sebagai terbatas. Prestasi pemimpin-pemimpin PAS di luar Kelantan amat tidak menentu. Adakalanya menang dan adakalanya kalah dalam pilihanraya. Bagi Umno, PAS diterima sebagai “necessary evil”.
Dengan adanya PAS, Umno dapat memaparkan dirinya sebagai golongan sederhana. Dalam konteks hubungan antarabangsa, PAS boleh digunakan sebagai jembalang untuk mengingatkan pengkritik, sekiranya Umno lemah Malaysia akan jatuh kepada golongan fundamentalis agama. Pendekatan strategik yang digunakan dalam menanggani PAS ialah pendekatan “containment”. Biarkan PAS bertapak di kawasan-kawasan tertentu, khususnya di negeri-negeri Pantai Timur. Biarlah PAS wujud dalam “sphere of influence” yang terbatas dan terbendong ini.
Prestasi ulama PAS pula tidaklah begitu memberansangkan. Walau pun mampu memberi ceramah dan pidato berapi-api serta mengistiharkan berbagai hukum, mereka umumnya tidak berkesan dalam Parlimen dan Dewan Undangan Negeri. Kebanyakan mereka tidak mampu membahaskan isu-isu dasar dengan berkesan. Kalau ada pun, sekadar membuat saranan umum memgenai perlu kembali kepada Islam, perlu ikut sistem ekonomi dan pendidikan Islam tetapi tidak melebihi dari itu.
Dalam isu-isu berkaitan dasar fiskal, mengenai strategi merubah ekonomi Malaysia dari ekonomi yang dipacu pelaburan kepada ekonomi yang dipacu inovasi dan bagaimana meningkatkan pelaburan, golongan ulama umumnya mati punca. Demikian juga, apabila muncul skandal-skandal mega golongan ini juga kelihatan ibarat rusa sesat di tengah pekan. Sama ada skandal BMF, Maminco, Perwaja atau skandal spekulasi matawang Bank Negara yang berlaku 20-30 tahun dahulu mahupun skandal-skandal yang mutakhir seperti skandal PKZ, MAS, 1MDB dan NFC, golongan ulama nyata tidak dapat menguasai isu-isu semasa ini. Mereka lebih selesa membisu dalam isu-isu sebegini.
Umno menganggap adalah memadai dengan pendekatan “containment” terhadap PAS. Ini berlarutan sehinggalah dua perkembangan yang membimbangkan Umno. Pertama ialah perkembangan politik selepas pemecatan Anwar Ibrahim dari kerajaan pada tahun 1998. Ia menyaksikan lonjakan aktivitisma politik di kalangan rakyat Malaysia.
PKR masih belum wujud, ramai di antara aktivis Melayu menyertai PAS. Ini termasuklah golongan professional. Penyertaaan mereka ini membawa beberapa perubahan penting kepada PAS. Golongan ini lebih canggih dari segi pemikiran politik dan keupayaan menanggani isu-isu semasa. Mereka dapat mengolah isu dan idea dalam bahasa dan gaya yang mempunyai daya tarikan kepada golongan kelas pertengahan Melayu. Golongan ini juga selesa menjalinkan hubungan dengan golongan bukan Islam, sama ada dengan DAP atau NGO-NGO yang turut disertai bukan Islam. Golongan ulama sebaliknya lebih bersikap “insular”. Mereka jarang sekali menyertai program-program bersama yang diwujudkan parti-parti Pakatan Rakyat.
Dari segi aktivisma, golongan ulama lebih selesa dengan program-program dalaman. Sebaliknya, golongan professional lebih aktif dalam ruang lingkup kegiatan-kegiatan yang lebih luas. Ini termasuklah dalam isu-isu seperti reformasi pilihanraya dan hak asasi manusia. Inilah sebabnya pemimpin-pemimpin PAS dari golongan professional lebih ramai menghadapi dugaan ditangkap dan dipenjarakan. Golongan ulama lebih selesa berjuang di medan ceramah sedangkan golongan professional yang selalu berada di barisan hadapan dan menghadapi berbagai ujian dan ibtilak. Sekiranya perjuangan para anbiya dipenuhi dengan dugaan dan ujian, tidak sukar untuk melihat siapakah yang lebih hampir pada perjuangan para anbiya.
Perkembangan kedua ialah PRU pada 2008. Akibat dari jalinan hubungan dengan golongan bukan Islam, PAS mula diterima masyarakat bukan Melayu dan bukan Islam. Semakin ramai pengundi bukan Melayu yang memberi undi kepada PAS dan membolehkan PAS menang kerusi-kerusi di luar Pantai Timur dan khususnya di kawasan-kawasan bandar.
Hasil PRU 2008 dan 2013 menunjukkan tembok “containment” yang wujud sebelum ini roboh. Perkembangan ini juga turut dirasakan DAP. Pengundi-pengundi Melayu, terutama golongan kelas pertengahan dan generasi muda, mula memberi sokongan kepada DAP. Dengan robohnya tembok “containment” ini, berlakulah tsunami yang merungkaikan penguasaan dua pertiga Parlimen BN dan menafikannya sokongan majoriti pada PRU ke 13.
Untuk menghadapi realiti baru ini, Umno memerlukan satu strategi baru untuk menggantikan strategi “containment”. Strategi ini mestilah mampu memusnahkan sumber-sumber kekuatan yang membolehkan PAS keluar dari tembok “containment” ini.
Bagi Umno, ancaman sebenar kepada pengaruhnya bukanlah ulama PAS. Golongan ulama lama wujud di dalam PAS dan dapat di “contain” dengan mudah. Sebaliknya, ancaman utama kepada Umno ialah golongan professional. Mereka inilah yang berjaya merobohkan tembok “containment”. Adalah perlu kekuatan ini dimusnahkan.
Strategi melemahkan PAS dan PR bolehlah diistilahkan sebagai strategi “rollback”. Tujuan strategi “rollback” ialah menolak kembali PAS ke ruang “containment” yang wujud sebelum 1998. Ini akan dicapai bila kepercayaan di kalangan golongan kelas pertengahan, khususnya di Pantai Barat, dan di kalangan pengundi bukan Melayu terhadap PAS dapat dilunturkan. Untuk tujuan ini, umpan hudud dan sentimen perpaduan Melayu digunakan. Pada ketika yang sama, langkah untuk melemahkan PR dan PKR turut diambil. Ini adalah dengan mewujudkan fitnah liwat terhadap Anwar Ibrahim dan memenjarakan beliau.
Di antara langkah yang diambil untuk menawan hati beberapa ulama PAS ialah program-program “taklimat” tertutup yang diberikan sebuah agensi perang saraf kerajaan.
Dua perkara utama cuba dicapai dari program-program ini. Pertama, memberi gambaran, kedudukan orang Melayu dan Islam akan terjejas jika PR memerintah. Ini kerana golongan MP bukan Islam dikatakan lebih ramai dari golongan Islam dalam sebuah kerajaan PR. Ini dikatakan boleh menjejaskan kedudukan Melayu dan Islam.
Kedua, usaha dilakukan untuk meyakinkan golongan ulama ini, Anwar Ibrahim ialah seorang peliwat dan membawa kefahaman liberal. Di antara perkara yang dilakukan dalam program-program “taklimat” tertutup ini ialah “pengakuan” dua orang bekas pemimpin ABIM dan seorang tokoh korporat yang rapat dengan PAS, mereka yakin Anwar memang seorang peliwat. Salah seorang dari ulama ini di bawa ke sebuah kilang di Thailand yang dimiliki tokoh korporat ini. Ketika di sana dia diberi sanjungan dan layanan istimewa.
Sebelum ini, pendekatan yang hampir sama turut digunakan ke atas pemimpin-pemimpin reformasi yang ditahan di bawah ISA. Mereka diberi maklumat terpilih mengenai “salahlaku” Anwar Ibrahim. Mereka dilayan seperti mereka golongan istimewa dan diberi maklumat yang tidak didedahkan kepada orang lain. Namun, muslihat ini gagal mengubah pandangan tahanan-tahanan ISA ini.
Kedua-dua bekas pemimpin ABIM ini dan tokoh korporat ini menggunakan pendekatan emosi dalam meyakinkan ulama PAS ini, Anwar adalah peliwat, satu ancaman kepada Islam dan harus dihalang dari menjadi Perdana Menteri. Namun, “taklimat-taklimat” ini tidak pula pernah menyebut mengenai bagaimana kepentingan Melayu dan Islam dikhianati elit Melayu melalui pembaziran dan amalan rasuah. Peranan J Lo serta kroni-kroni lain elit Melayu tidak pernah disebut. Demikian juga, penglibatan seorang warga Israel sebagai penasihat komunikasi juga tidak dibincangkan. Sesi-sesi taklimat ini berjaya menambat hidung ulama PAS. Muslihat yang gagal digunakan ke atas tahanan ISA mengena pada ulama PAS ini. Ini membuka jalan untuk membolehkan strategi “rollback” dilaksanakan sepenuhnya.
Pergolakan MB Selangor berjaya digunakan untuk mencetuskan ketegangan di dalam PR dan PAS sendiri. Walau pun pendirian presiden PAS bercanggahan dengan keputusan yang dibuat JK Pusat PAS, yang dipersalahkan ialah golongan professional. Maka berbagai istilah pahit seperti barua, jebon, budak suruhan DAP, perosak dan pengkhianat digunakan untuk melabel golongan ini. Ketika para sahabat Rasulullah tidak menyetujui dengan perjanjian Hudhaibiah dan pada mulanya enggan membuka pakairan ihram mereka, Rasulullah tidak pula mempersoalkan wala mereka atau menggunakan bai`ah yang mereka berikan untuk memaksa mereka akur dengan keputusan baginda. Jauh sekali melabel mereka sebagai pengkhianat atau perosak. Tetapi ulama PAS bertindak sebaliknya dan membiarkan suasana memfitnah, mencaci dan mengecam berterusan seolah-olah inilah sibghah Islam yang mereka bawa. Mungkin ulama PAS tidak mempelajari tafsir surah Al Hujurat, wallahu `alam.
Budaya taat tanpa menyoal dalam PAS turut memudahkan proses memecahbelahkan PAS dilakukan. Muhasabah bukanlah suatu yang mudah dilakukan dalam PAS, terutama apabila ia melibatkan ulama. Sebagai contoh, seorang pemimpin ulama ketika PAS memerintah Terengganu memiliki sehingga enam buah kereta rasmi. Ini kerana kedudukannya dalam Exco negeri dan beberapa jawatan dalam lembaga GLC negeri Terengganu.
Namun, amalan yang keterlaluan ini tidak pula ditegur sesiapa. Ini semata-mata kerana pemimpin ini digelar ulama. Demikian juga, pemimpin yang sama membiarkan diri dipanggil dengan gelaran doktor sejak tahun 1980han walau dia tidak melengkapkan pengajian PhDnya.
Nyata sekali semua asas-asas strategi “rollback” ditegakkan. Golongan professional dalam PAS yang merupakan ancaman utama kepada Umno dinyahkan. Inilah sebabnya pemimpin Umno dan media yang dikawal Umno begitu teruja dengan monopoli “leadership of the clergy” dalam PAS. Inilah sebabnya pemimpin-pemimpin Umno menunjukkan kegembiraan mereka dan cepat mengucapkan tahniah kepada ulama PAS. Mereka tahu strategi mereka berjaya. Kain kafan diikat, hanya tunggu untuk memasukkan PAS ke dalam liang lahad. Dengan ini berjayalah strategi “rollback” mereka dan pengaruh PAS akan kembali terbendung dalam ruang “containment” yang wujud sebelum 1998.
Pada PRU ke 14 nanti, kemerosotan sokongan kepada PAS akan menyebabkan PAS kalah dibanyak kerusi yang dipegangnya ketika ini. Tidak mungkin Umno akan membiarkan PAS mengambil kerusi-kerusi yang kini dipegangnya. Apabila ini berlaku, nilai PAS kepada Umno sudah tidak wujud lagi. Malahan, lebih baik Umno bekerjasama dengan PKR pada ketika itu. Akan jelaslah ketika itu siapa sebenarnya yang merosakkan dan mengkhianati PAS. Pada ketika itu, para ulama PAS bolehlah menggunakan lutut dan siku yang terdapat di bawah jubah mereka untuk bergocoh sesama sendiri. – 1 Julai, 2015.
*