ASPAN ALIAS
Semua sentuhan Najib membawa
masalah kepada negara terutamanya dalam hal melibatkan kewangan dan khazanah
negara yang merugikan. Tidak payah kita sebut sejarah lama. Jika kita mulakan
dengan hal kapal selam hinggalah kepada isu FGV dan kini isu pembelian harta di
Cauldfield di Melbourne semuanya adalah transaksi di bawah dagu Najib.
Pendeknya apa sahaja yang disentuh
oleh Najib akan membawa malang kepada negara dan rakyat yang menanggung semua
salah laku beliau. Dalam pada itu beliau tetap berdegil dan tidak mahu berundur
dan setiap salah lakunya yang diketahui umum beliau akan dialihkan pandangan
ramai kepada perkara yang lain tidak tepat sasarannya.
Isu yang saya selalu sebutkan ialah
pimpinan kita sejak berapa lama dahulu tidak mahu mengambil ‘accountability’
terhadap noda dan kesalahan yang dilakukan mereka. Memerintah hendak lama tetapi
kesalahan tetap dilakukannya. Kesalahan mereka tidak mahu diakui tetapi
sebaliknya menyalahkan orang lain. Apabila disoal oleh rakyat jawapan tidak
diberi dengan betul atau tidak dijawab terus. Jika menjawab pun hanyalah
jawapan-jawapan loyar buruk sahaja dan tidak tepat.
Semua tanggungjawab hendak
dipikul tetapi satu pun tidak terlunas dengan baik dan sempurna malah semuanya
dalam kepincangan. Rakyat keliru dengan sifat dan tindak laku pimpinan kita.
Gaya ada tetapi tidak mempunyai ‘substance’ dan kalau dikaji dengan teliti
mereka ini layak bersama saya sahaja duduk dan minum dikedai mamak setiap hari.
Kita cuba ingatkan isu-isu yang lepas
yang berkait dengan Najib. Isu scorpene semua orang tahu ia melibatkan isu RM
lebih dari RM7billion. Akhirnya timbul isu sampingan selain dari isu tambahan
harga yang begitu tinggi, iaitu isu pembunuhan Altantuya yang sampai hari ini
tidak mendapat penyelesaian yang betul walaupun telah dibawa ke Mahkamah. Dr
Mahathir telah bertanya siapa yang mengarahkan Sirul membunuh Altantuya,
jawapannya tidak diberi sehingga hari ini.
Felda mantap dan selamat semasa
perbadanan itu berada di Kementerian Kemajuan Tanah dan Wilayah dahulu, tetapi
kelemahan Abdullah Badawi yang terbilang dengan mudah tidurnya telah
membenarkan Najib membawa Felda untuk diletakkan dibawah urusan beliau semasa
menjadi Timbalan Perdana Menteri dahulu.
Felda yang mempunyai resab yang
melebihi RM4 billion sekarang sudah tinggal sejemput sahaja. Peneroka yang tidak
pernah berhutang sekarang sudah berhutang kerana pembelian saham FGV yang
beliau janjikan bulan dan bintang dahulu. Sekarang harga saham FGV telah
merudum dan sekarang berlegar di sekitar RM 1.70 sen sahaja. FGV ibarat
berniaga buluh kasap, hujung hilang pangkal lesap.
Dulu ramai yang menentang Felda
di senaraikan di Pasaran Saham termasuk pegawai – pegawai yang kanan dalam
perbadanan itu tetapi mereka ini diharam jadahkan oleh Najib. Sekarang peneroka
sudah mengalami masalah yang belum pernah mereka alami kerana tindakan Najib
yang memandai-mandai. Kata-kata sumbang sudah terlepas usaha yang kononnya
untuk kepentingan peneroka telah gagal.
Timbul pula isu 1MDB yang
terhutang sebanyak RM42 billion. Itu pun beliau nafikan yang 1MDB mengalami
kerugian dan Najib sentiasa berfikir rakyat semuanya bodoh dan tidak tahu yang
rakyat lebih cerdik dari beliau.
1MDB membawa padah kepada banyak
pihak. Beberapa orang pegawai bank antarabangsa telah kehilangan kerja kerana
memberikan pinjaman kepada 1MDB. 1MDB menjadikan ‘credit rating’ negara sudah
menurun. Kita bukan tidak tahu, jika tiga ‘credit rating agencies’ ini
memberikan negara ‘rating’ yang rendah negara akan kehilangan kredibiliti dan
akan memberikan masalah dan tambahan beban kepada negara. Isu-isu seperti ini dipermain-mainkan dan
dilalai-lalaikan. Akhirnya kerajaan telah menghantar seorang Menteri Kabinet
untuk berjumpa salah satu dari ‘credit rating agencies’ itu untuk meminta
jangan diturunkan ‘rating’ Malaysia.
Semua kerja tidak dilakukan oleh
pelaksana dengan jujur. FGV telah membeli saham syarikat perladangan kumpulan
Rajawali di Indonesia dengan harga yang meragukan. Felda sememangnya terbilang
dengan membeli harta dengan harga yang ditambah berlipat kali ganda di seluruh
dunia. Tentulah kita tahu sebabnya jika membeli harta yang berlipat kali ganda
harganya itu. Kali ini Felda telah membeli syarikat kumpulan Rajawali dengan
harga dua kali ganda dari aras harga pasaran. Ada beberapa orang yang hendak
menjadi kaya raya dengan menggunakan kedudukan dan keringat peneroka itu.
Sekarang timbul pula hal
pembelian harta di Cauldfield Melbourne dengan tambahan harga sebanyak hampir RM14
juta. Sekarang MARA sedang menubuhkan jawatankuasa untuk menyiasat pembelian
itu. Pergolakan dalam UMNO juga dikatakan penyebab kenapa isu ini diketengahkan.
Siapa yang memangsakan dan dimangsakan dalam isu terbaru ini kita akan ketahui nanti.
Pemutus kata, apa sahaja yang
berada dibawah Najib semuanya mempunyai masalah hasil dari tidak ada kejujuran
dan merobek keyakinan dan kepercayaan yang telah diberikan rakyat itu.
Najib has to be forced out. Semua
sentuhannya membawa malang.