Ayah ambil berat Pakatan lebih daripada anak sendiri, kata anak Nik Aziz
Anak kepada bekas mursyidul am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata ayahnya lebih mengambil berat hubungan dalam Pakatan Rakyat (PR) berbanding kepentingan anak sendiri.
Menurut Nik Omar Nik Abdul Aziz, menjelang muktamar PAS, perwakilan tidak seharusnya memikirkan sama ada memilih golongan ulama atau profesional diangkat sebagai pimpinan, sebaliknya mereka yang dapat memberi sumbangan kepada parti.
“Ulama ada takrifan tersendiri. Maknanya bagi dia (Nik Aziz), pimpinan PAS semua ulama cuma mengikut tahap masing-masing.
“Ulama ini orang yang takut, maknanya dengan ilmunya, dia takut pada Allah. Pengajiannya dalam bidang sains atau sejarah, yang dia belajar menyebabkan dia kembali kepada Allah. Dia termasuk dalam ulama,” katanya dalam sebuah forum “PAS dan Masa Depan Politik Islam di Malaysia” malam tadi, yang turut dihadiri Ahli Parlimen Parit Buntar Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa dan Faiz Fadzil, anak kepada bekas presiden PAS, Datuk Fadzil Noor.
Ditanya ciri-ciri yang dimiliki bapanya sehingga dapat menarik sokongan pelbagai kaum di Kelantan, Nik Omar berkata terdapat tiga ciri utama yang dipegang bapanya.
Katanya, tiga ciri tersebut ialah warak, zuhud dan istiqamah yang ditonjolkan semasa mentadbir negeri Kelantan dan juga ketika bersama keluarga.
“Dia ada sifat atas sikit makamnya, iaitu zuhud. Zuhud biasa orang terjemah tak nak pada dunia. Saya perhati Tok Guru seolah-olah tak ada segelumit pun dia minat pada dunia tetapi dia duduk atas dunia.
“Dunia duduk di tangannya bukan pada hatinya. Dia urus dunia, bukan dunia yang urus kehidupannya.
“Apabila dia menang (menteri besar), antara benda yang dia buat untuk diri dia, dia potong gajinya 45% untuk khazanah negeri dan parti. Dia cakap pada saya, sampai akhir pun 'ayah tidak tahu gaji ayah berapa'. Dia nak guna duit, dia beritahu pegawai dia,” katanya mengenang kenangan bersama allahyarham.
Sementara Faiz berkata, ulama atau profesional bukanlah menjadi kriteria utama pemilihan dalam muktamar kali ini, sebaliknya pimpinan beraliran pragmatik perlu diangkat mempelopori PAS untuk tempoh dua tahun akan datang.
Faiz yang juga merupakan peguam syarie berkata, ciri pemimpin berkenaan penting dalam memastikan PAS terus relevan dan bergerak maju ke depan.
“Untuk kita bergerak sebagai sebuah parti politik untuk perintah negara ini, kita perlu pilih pemimpin beraliran pragmatik, yang tajdid yang boleh berfikir ke depan bukan sekadar buka kitab dan baca apa yang ada dalam kitab.
“Kalau tuan-tuan sayang pada PAS, sayang pada agama Islam, wajib memilih pemimpin yang tajdid sama ada mereka yang berkelayakan agama atau profesional.
“Kalau pragmatik menang, kita akan tarbiah golongan ekstrim, reform model tarbiah, usrah dan bawa mereka kenal budaya Malaysia.
Kita bukan tinggal di Mongolia, Arab Saudi, nak jadi ekstrem, kita bukan duduk di Syria. Kita tinggal di Malaysia. Kita anti keganasan,” katanya.
Faiz berkata PAS perlu terus bersama PR dan menunjukkan kepada DAP bahawa Islam sebuah agama yang universal dan boleh dikongsi untuk bersama-sama membentuk kerajaan.
Katanya, mereka yang berpandangan jumud dan sempit sahaja akan menganggap kerjasama di antara PAS dan DAP akan menggadai maruah Islam.
“Perlulah kita berdakwah kepada orang bukan Islam tetapi sekarang seolah-olah kita nak benci orang Cina, bila kita nak berdakwah dengan mereka?
“Kalau dilihat Buku Jingga, ia mengiktiraf Islam sebagai agama rasmi. Kalau DAP tolak Islam, dia akan buang.
“Polisi bersama dalam PR memperjuangkan keadilan, membanteras penyelewengan, rasuah dan kita nak bentuk kerajaan yang mengamalkan urus tadbir yang baik. Ini (diajar) dalam Islam,” katanya.
Katanya, bagi memastikan parti Islam itu terus relevan maka keahlian perlu dibuka kepada bukan Islam dan bukan sekadar Dewan Himpunan Penyokong PAS.
“Sebab itu dalam PAS saya memikirkan visi pada masa depan, PAS perlu menjadi (parti) pelbagai kaum dan agama.
"Pemikiran ini bukan baharu. Saya akan meneruskan perjuangan itu. Saya kata bukan sekadar Dewan Himpunan, saya mahu bukan Islam jadi ahli PAS.
“Saya akan lawan siapa-siapa saja yang hijack PAS untuk kepentingan sempit. Saya akan lawan.
“Jangan bimbang dengan suara-suara ekstrem, Isis, Taliban, sebab suara ini akan berlalu. Yang akan memimpin PAS, insya Allah, suara yang melihat masa depan negara dan melihat satu sumbangan untuk meletakkan rahmat sekalian alam sebagai dasar utama yang diperjuangkan parti,” katanya. -TMI