Wan Azizah calon MB Selangor terlampau layak, kata Mat Taib
OLEH MD IZWAN
Published: 17 September 2014
Bekas menteri besar Selangor itu berkata, Dr Wan Azizah calon berkredibiliti berdasarkan pengalaman dan kepimpinan memimpin partinya sejak era reformasi lagi.
"Wan Azizah calon terbaik untuk mentadbir negeri Selangor," kata Muhammad dalam wacana anjuran Sinar Harian bertajuk "Kerusi Panas MB Selangor".
"Wan Azizah terlampau layak, tapi senario yang berlaku ini di mana istana sudah beri, isyarat beberapa perkara perlu dipertimbangkan," katanya.
Pandangan Muhammad dilihat berbeza dengan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mengatakan Dr Wan Azizah tidak layak untuk menggalas jawatan menteri besar Selangor.
Muhammad bagaimanapun menggesa Pakatan Rakyat (PR) duduk semula dan berbincang bagi mencapai kesepakatan dalam nama calon menteri besar Selangor.
"Kalau betul-betul duduk bersama balik dan calonkan satu calon yang berkaliber, takkan istana nak tolak."
Menurut seorang lagi ahli panel Dr Abdul Aziz Bari, keputusan istana meminta lebih daripada dua nama sebagai sabotaj kepada kerajaan PR di Selangor.
"Kalau Selangor ini di bawah Umno adakah perkara ini berlaku? Ini tidak berlaku, seperti di Terengganu, tidak berlaku. Di Sarawak, sama juga.
"Tapi kalau PR, kita tidak boleh letak calon sendiri," katanya.
Bagi Aziz, proses yang selama ini digunakan di mana majoriti memilih calon MB tidak berlaku dalam krisis di Selangor.
Aziz berkata, sebarang perubahan politik dibuat oleh pihak parti dan bukan keputusan oleh Istana.
"Pertukaran politik itu keputusan parti, bukan keputusan istana. Bukan suruh istana jadi 'Pak Turut', tapi kerana majoriti yang pilih," katanya.
Aziz berkata, sepatutnya Dr Wan Azizah sudah dilantik menjadi menteri besar kerana disokong 30 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Selangor. – 17 September, 2014.