Cubaan terakhir, PKR mohon menghadap sultan lagi



Walaupun peluangnya dilihat makin tipis, PKR sehingga ke saat akhir masih berharap istana dapat memilih presidennya Datuk Seri Wan Azizah Ismail sebagai menteri besar baru Selangor.

Di samping memohon menghadap sultan Selangor, PKR pada masa yang sama menegaskan sokongan majoriti anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) terhadap Azizah tidak berubah.

“PKR mengambil pendirian bahawa kedudukan sokongan ahli-ahli dewan negeri Selangor seperti yang ternyata sebelumnya menyokong Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tidak berubah,” kata setiausaha agungnya Datuk Saifuddin Nasution.

“Oleh yang demikian, PKR merafak sembah memohon limpah perkenan Duli Yang Maha Mulia Tuanku untuk mengadap bagi mendapatkan nasihat dan ehsan Duli Yang Maha Mulia Tuanku dalam keadaan sokongan majoriti adalah jelas dan tidak berubah.”

Dalam kenyataannya sebentar tadi, Saifuddin berkata, biro politik PKR yang dihadiri semua pimpinan kanannya bermesyuarat hari ini lanjutan perkembangan terbaru berhubung isu pelantikan menteri besar baru Selangor.

“PKR akan terus menjunjung kedaulatan Duli Yang Maha Mulia Tuanku dan undang-undang tubuh Negeri Selangor yang dinaungi Duli Yang Maha Mulia Tuanku,” katanya.

PKR sebelum ini sudah memohon menghadap sultan tetapi tidak mendapat jawapan positif.

Perkembangan terbaru ini menguatkan spekulasi bahawa Azizah bukanlah pilihan sultan untuk mengangkat sumpah pada istiadat Selasa depan.

Malah, harian berbahasa Inggeris New Straits Times hari ini memetik sumber istana sebagai berkata, menteri besar baru "bukan seorang perempuan".

Sebelum ini, petunjuk-petunjuk sedia ada lebih memihak kepada timbalannya Azmin Ali dan Pesuruhjaya PAS Selangor Iskandar Samad.

Surat rasmi belum keluar

Sementara itu, Bernama melaporkan, istana Selangor akan mengumumkan nama menteri besar Selangor yang baharu selewat-lewatnya Isnin, secara sebelum istiadat mengangkat sumpah.

Perkara itu dinyatakan Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani.

“Bagaimanapun, ia (pengumuman itu) terpulang kepada perkenan Sultan Selangor," beliau dipetik sebagai berkata ketika dihubungi Bernama hari ini.

Munir juga dilapor berkata setakat ini, istana tidak mengutus sebarang surat kepada bakal menteri besar Selangor berhubung perkara itu.

Sebelum ini, beliau menyatakan nama menteri besar yang baharu akan hanya diketahui pada hari majlis angkat sumpah itu.
 

No comments: