Pendedahan PKR: Tiada alasan Hadi sokong Khalid

Rabu 6 Ogos

Pendedahan Setiausaha Agung PKR Saifudin Nasution Ismail yang mendakwa Khalid Ibrahim terlibat dalam urusniaga yang meragukan membabit beberapa pihak seperti Bank Islam dan Eco World seharusnya memberi titik noktah kepada sokongan pemimpin PAS ke atas beliau.


Khalid mencabar agar dibuat laporan SPRM berhubung dakwaan skandal tersebut. Namun seperti ahli politik negara maju, Khalid harus faham mereka ‘bukan sahaja mesti bersih tetapi wajib dilihat bersih’. Khalid tidak lagi dilihat bersih dan perlu mengambil tanggungjawab meletak jawatan sebagaimana yang berlaku dalam kalangan ahli politik Eropah atau Jepun.


Dakwaan tersebut juga membuka persepsi awam kemungkinan Khalid boleh diugut pemimpin Umno. Sudah menjadi lumrah pemimpin Umno tidak berani untuk berkata tidak kepada atasan mereka terutama presiden parti kerana ketua biasanya menyimpan fail rasuah pemimpin bawahan.

Jika ketua mengarahkan jawatan dikosongkan dan pemimpin bawahan berdegil maka failnya akan terbang ke SPRM dan mereka akan menghadapi pendakwaan. Perkara sama juga boleh berlaku kepada pemimpin pembangkang yang mempunyai kesalahan, SPRM boleh dikerah memalukan mereka.

Perkara seperti itu tidak sewajarnya berlaku di Selangor, sebuah negeri maju yang diuar-uar sebagai model kepimpinan Pakatan Rakyat. Tidak boleh dibenarkan menteri besarnya diugut oleh Umno untuk meluluskan apa yang tidak sepatutnya lulus.

Seorang veteran PAS yang pernah rapat dengan pemimpin parti berpendapat presiden Hadi Awang selepas ini tidak ada alasan moral untuk meneruskan sokongan beliau terhadap Khalid selepas pendedahan dakwaan skandal tersebut.

“Hadi perlu melihat perkara ini dengan telus. Dia tidak boleh lagi menyokong Khalid. Semua ini berlaku kerana Khalid berdegil. Jika Khalid meletak jawatan secara baik dua minggu lalu maka PAS akan menerimanya dan tidak akan berkata sepatah pun,” katanya.

Bagaimanapun, beliau optimis PAS pusat akan membuat keputusan menyokong penukaran MB kepada Wan Azizah dalam mesyuarat 10 Ogos nanti. Katanya, ulama PAS yang menyokong Khalid akan melihat suara majoriti dan kehendak parti-parti sekutu.

“Dalam hal ini, pesuruhjaya PAS Selangor Iskandar Samad juga tidak seperti digambarkan sebagai penyokong tegar Khalid. Iskandar mengadu disalah lapor media. Sedangkan beliau terbuka dalam hal pertukaran MB.

“Tapi jika PAS Pusat membuat keputusan menukar MB maka PAS Selangor akan akur dan tidak akan menolaknya. Terpulang kepada mesyuarat 10 Ogos nanti,” katanya.

Sokongan PAS kepada MB baru Dr Wan Azizah penting ketika mana terdapat khabar angin dari pejabat MB, puak Khalid merancang agar Khalid menjadi Menteri Besar tanpa parti.

Ia berikutan ancaman PKR untuk memecat Khalid kerana ingkar arahan rasmi parti. Sekiranya hal itu berlaku dan sultan bersetuju maka Khalid memerlukan sokongan kesemua ADUN PAS dan Umno dengan ditambah sekurang-kurangnya tiga ADUN DAP atau PKR yang menulis surat taat setia kepada kepimpinan Khalid.

Sultan sekiranya berpuas hati akan menitahkan Khalid terus memimpin negeri biar pun tanpa menganggotai mana-mana parti.

Sebaliknya, andai kata Khalid hilang sokongan dari PAS maka beliau perlu berundur. Khalid boleh membalas dendam dengan membubarkan DUN.  Tetapi PAS tidak boleh mengelakkan risiko pembubaran DUN dengan mengambil jalan mudah menyokong penyelewengan Khalid.

Sekiranya PAS bertindak menyokong penyelewengan maka mereka akan kehilangan bukan sahaja sokongan di Selangor tetapi di seluruh negara.


No comments: