Pinjaman Deepak: Rafizi ada bukti campur tangan menteri


SUNGAI BESI 16 JULAI:  Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli mempunyai bukti campurtangan Menteri Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hasan Malek dalam pemberian pinjaman kepada niagawan, Deepak Jaikishen.

Menurutnya, beliau mempunyai bukti lengkap menerusi 13 dokumen yang diserahkan kepada National Oversight and Whistleblowers Centre (NOW).

“Dokumen yang diserahkan kepada NOW adalah melibatkan surat-menyurat rasmi di antara Bank Rakyat dan Hasan, kertas-kertas Lembaga Pengarah, memo dalaman dan lain-lain lagi.

“Ia bukan sahaja bukti campur tangan Hasan dalam pengurusan Bank tetapi memberi gambaran betapa besarnya jumlah hutang Deepak dan bagaimana dia mendapat layanan yang baik dari pihak bank tersebut,” katanya pada sidang media di pejabat NOW dekat sini hari ini.

Sebelum ini, bekas Pengerusi Bank Rakyat, Tan Sri Sabbaruddin Chik mendedahkan campurtangan Hasan meluluskan pinjaman RM32 juta kepada Deepak tanpa faedah. Keenganannya bersetuju dengan pinjaman itu mengakibatkan kontraknya tidak disambung.

Bagaimanapun, semalam Ketua Penerangan PAS Datuk Mahfuz Omar mendakwa hutang Deepak kepada bank itu berjumlah RM215 Juta melalui dua lagi pinjaman dan bukan RM32 juta.

Dalam pada itu, Rafizi mendedahkan beliau memiliki surat daripada Hasan kepada Pengarah Urusan Bank itu,  yang mengarahkan Bank Rakyat memberi layanan istimewa kepada Deepak. Ia katanya bertentangan dengan amalam biasa bank.

“Pertemuan diadakan di antara Menteri, wakil Bank Rakyat dan Deepak pada 30 Januari lepas, ini menunjukkan ada salah guna kuasa dan rasuah,” ujarnya.

Tambah Rafizi lagi, sebelum ini Hasan Malek menafikan sekeras-kerasnya terlibat dengan pengurusan bank tersebut dan meluluskan pinjaman yang dibuatnya.

“Sebelum ini nafikan hal ini, tapi saya ada bukti yang mengatakan dia (Hasan) terlibat dalam urusan bank tersebut. Hal ini telah menyebabkan Bank Rakyat terpaksa tunduk kepada Deepak,” jelasnya.

Katanya, NOW akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Menteri tersebut pada 18 Julai ini, jam 11 pagi, dan satu laporan terahadap Pengarah Urusan itu di Jabatan Siasatan Jenayah Perdagangan (CCID) di Ibu Pejabat PDRM, Bukit Aman pada jam 3 petang pada hari yang sama.

“NOW akan mendedahkan secara bersiri dokumen-dokumen ini sepanjang bulan ini dan selepas raya supaya tindakan segera diambil terhadap mereka,” tegasnya.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=62152