PAS jangan tikam belakang PR

Walaupun Timbalan Presiden Muhammad Sabu dan perwakilan PAS dalam mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Rakyat bersetuju dengan pencalonan Dr Wan Azizah sebagai MB baru Selangor tetapi Presiden Hadi Awang tidak mahu menerima kenyataaan dan terus mempertahankan Khalid.

Bagi beliau Khalid tidak rasuah dan tiada alasan untuk ditukar. Jelas Hadi menggunakan pendekatan ulama silam dalam mempertahankan kepimpinan. Dalam ijtihad ulama, untuk menjadi imam solat, walaupun seseorang itu saleh dan alim tetapi jika makmum tidak setuju maka tidak bolah menjadi imam.




Tetapi bagi ketua negara, jika bergelumang maksiat sekalipun dan pemimpin itu berdegil tidak mahu turun takhta maka beliau harus dikekalkan. Maksiat adalah perbuatan peribadi dan tidak boleh menjadi sebab berlakunya pertelagahan di kalangan umat menjatuhkan khalifah.

Pendekatan itu amat sukses digunakan Hadi di Kedah mempertahankan pentadbiran Azizan Razak. Biarpun exco negeri memboikot Azizan dan Hadi mengetahui kelemahan Azizan, beliau berkeras mempertahankan MB itu. Beberapa minggu sebelum pilihan raya umum, PAS menghantar Ketua Dewan Ulama ketika itu Harun Taib untuk memberi syor apakah perlu Azizan dikekalkan. Syor mendapati Azizan wajar diganti.

Azizan ditolak

Arus dalaman di Kedah mahu seseorang yang lebih mesra teguran sebagai MB dan menolak polisi Azizan yang degil. Sekiranya PAS mencadangkan Pahlolradzi, Amiruddin atau Dr Hayati sebagai MB selepas PRU maka PAS akan bertahan. Sebaliknya Hadi menolak syor Harun dan mempertahankan Azizan atas prinsip jangan menimbulkan pertelagahan umat.

Dia lupa dalam demokrasi untuk menjatuhkan kerajaan tidak perlu bertelagah. Tidak perlu bertikam dan berbalas tembakan. Hanya membuang undi maka kerajaan ditukar. Lalu rakyat Kedah yang bosan dengan Azizan memilih untuk bertukar kepada Umno. Walaupun selepas BN memerintah tidak ada kemajuan yang dijanjikan.

Di Selangor Hadi mengambil pendekatan serupa. Beliau tidak mendapat cukup maklumat dan sesetengah sumber dalaman mendakwa Hadi tidak mahu ambil peduli bukti kelemahan Khalid. Beliau hanya mempercayai maklumat sesetengah pihak yang memuji Khalid.

Dalam hal ini, kelemahan Hadi membolehkan PAS mengganti presiden mereka dengan calon lain yang lebih telus dalam menimbangkan risiko. Sementelah Hadi pula sering uzur kebelakangan ini.

Dalam Pakatan, DAP dan PKR hairan dengan tindakan Hadi yang memusuhi Anwar. Dapat difahami ada penasihat Hadi bekerja di GLC Selangor yang memberitahu tujuan PKR ingin menurunkan Khalid kerana ingin merebut projek. Tetapi Hadi jangan menggunakan alasan itu mempertahankan Khalid tanpa meneliti bukti-bukti yang dikemukakan oleh rakan politik PAS.

Hadi tidak wajar menyalahguna prinsip walak dalam Islam, taat kepada pemimpin sehingga ke tahap membuta tuli. PAS memang terkenal dengan ketaatan dan ahli akan melakukan apa sahaja tanpa berfikir dua kali jika pemimpin mengarahkan sesuatu. Prinsip walak hanya sesuai dalam keadaan pemimpin memperkatakan yang benar. Sekiranya kuasa pemerintahan negeri menjadi taruhan seperti di Kedah maka walak tidak patut diterima.

Hadi sewajarnya tidak terlalu berkeras dengan Anwar. Pengorbanan Anwar dalam perjuangan Reformasi menyebabkan PAS menjadi parti arus perdana. Tanpa Anwar dipenjara malah sekiranya Anwar menerima apa sahaja yang Mahathir lakukan sehingga pemimpin itu tamat kuasanya dan melakukan perubahan selepas menjadi PM maka PAS tiada negeri sekarang ini.

Rakyat Kelantan pernah terpesona dengan imej Anwar sehingga hampir mengalahkan kerajaan Tok Guru Nik Aziz pada pilihan raya umum 1995.

Anwar Timbalan PM

Pengorbanan Anwar yang lebih besar berlaku pada Ogos tahun lalu apabila Umno menawarkan kerajaan campuran bersama PKR. Rundingan melibatkan kepimpinan tertinggi kedua-dua parti. Umno menawarkan jawatan 5 menteri kepada PKR dengan Anwar dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri. Tentu sekali kes liwatnya tidak lagi relevan dan beliau akan menikmati persaraan yang lumayan selepas 5 tahun.

Tetapi atas setiakawan PKR - PAS - DAP Anwar menolak mentah-mentah idea itu. Beliau bersedia merengkok sekali lagi dalam penjara daripada mengkhianati rakan seperjuangan.

Apakah yang dilakukan oleh PAS membalas pengorbanan Anwar? Jawabnya mudah. Menikam Anwar dari belakang! Hadi menjadi musuh ketat Anwar mempertahankan Khalid. Inikah corak kepimpinan Islam yang dibanggakan PAS?

Maka tidak hairanlah banyak bloggers mengutuk kepimpinan PAS sejak akhir-akhir ini. Malah penulis politik hebat seperti Sayuti Omar pun tidak bersetuju dengan sikap gila kuasa sesetengah ulama PAS yang lebih cenderung untuk menikmati kesenangan dunia bergabung dengan pemimpin Umno.

Malah, ahli parti sosialis lebih baik dalam setiakawan walaupun mereka tidak mempercayai landasan agama. Sepatutnya ulama tidak bersikap hipokrit dalam perjuangan, dan mengutamakan keputusan konsensus daripada keputusan peribadi.

Pergolakan politik di Selangor akan menguji kepimpinan PAS. Apatah lagi puak reformis dalam PAS Pusat dan PAS Selangor didakwa kali ini tidak akan walak kepada presiden dalam isu menukar menteri besar. Mereka sedar Malaysia ditadbir secara demokrasi dan kerajaan boleh bertukar sekelip mata.

Kaedah ulama silam dalam menukar pemimpin hanya sesuai dengan corak pemerintahan khalifah yang sukar dijatuhkan dan umat jangan memberontak biar pun khalifah tidak disukai.

Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis dan bukan pendapat suarapakatandaily