Dari MB wanita pertama ke PM wanita pertama


Badan pemikir Kajian Politik untuk Perubahan


Tanggal 15 Julai 2014, masyarakat Malaysia, khususnya golongan wanita amat tersinggung dengan kenyataan peguam Umno Mohd Hafarizam Harun bahawa Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tidak layak menjadi Menteri Besar (MB) atas sebab ‘keuzuran sharie’ seseorang wanita.

Kenyataannya yang berunsur diskriminasi terhadap wanita dikecam sekuat-kuatnya oleh masyarakat sivil dan juga pemimpin Pakatan Rakyat, malahan rakan sekerjanya dalam BN dan Umno pun tidak berpihak dengan kenyataan ‘cauvinis lelaki‘ sebegini.

Sesungguhnya, nama peguam Umno tersebut pun dikenali sebelum mengeluarkan kenyataan yang merendahkan martabat wanita, kerana dialah pengarah syarikat dan juga pengerusi masing-masing dalam Emrail Sdn Bhd dan Zabima Construction and Engineering Sdn Bhd yang memiliki Kidex Sdn Bhd.
Seperti yang umum sedia maklum, pembinaan lebuh raya Kidex sepanjang 14 kilometer dengan anggaran kos RM2.2 bilion yang menimbulkan kontroversi dan perdebatan hangat kebelakangan ini telah pun dianugerahkan kepada konsortium Kidex pada akhir tahun lalu.

Alangkah tidak langsung memeranjatkan sekali pun Mohd Hafarizam Harun tiba-tiba tampil untuk menghalang Dr Wan Azizah, yang terkenal dengan nama Kak Wan, bagi menggantikan Tan Sri Khalid Ibrahim bagi menerajui negeri Selangor.

(Dakwaan itu turut dibangkitkan Rafizi Ramli kelmarin dan ditolak Hafarizam atas alasan, ulasannya hanya sebuah tafsiran undang-undang dan dakwaan pengarah strategi PKR itu "tidak relevan, tidak berkaitan dan menyimpang". - Editor )

Bagaimanapun, kenyataannya secara tidak langsung menyalakan cahaya harapan bahawa masyarakat Selangor berkemungkinan bakal menyambut kelahiran seorang MB wanita pertama yang sudah tentu akan mencorakkan arena politik negara ini.

Badan pemikir Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU) ingin menyarankan kepada pihak pimpinan Pakatan, agar tidak mengabaikan kemungkinan MB wanita pertama ini turut bakal membuka lembaran baru dalam sejarah dengan menerajui tampuk pemerintahan Putrajaya sebagai Perdana Menteri (PM wanita pertama di Malaysia, sekiranya Pakatan berjaya dalam perjuangannya dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU-14).









Jantina bukan halangan

MB wanita pertama ini bukan sahaja satu wawasan di mana jantina bukan lagi suatu halangan bagi mana-mana individu berwibawa untuk terus mara ke hadapan, khususnya dalam sebuah masyarakat yang mana kuasa pimpinan secara konvensyennya didominasi oleh lelaki.

Malahan, ia merupakan satu fenomena baru dalam arena politik Malaysia yang membawa impian dan imaginasi baru kepada rakyat jelata.

Sesungguhnya, Kak Wan pada tahun 2008 telah pun muncul sebagai ketua pembangkang wanita pertama di parlimen Malaysia dalam sejarah mengetuai gerakan menuju Putrajaya versi 1.0.

Pada ketika itu, setiausaha agung DAP sedang memimpin pembangunan Pulau Pinang sebagai ketua menteri sejak tahun 2008; Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang juga pernah menyandang jawatan sebagai MB Terengganu, manakan pengerusi PKR tidak berpeluang memegang tampuk pemerintah di negeri Selangor?

KPRU dalam artikelnya bertajuk "'Kajang Move’ kickstarts PAKATAN’s Road to Putrajaya 2.0" sebelum ini pernah menyatakan bahawa perencanaan Kajang merupakan langkah strategik yang diambil oleh PAKATAN atau secara khusus PKR, dengan mencatur strategi tersendiri dan muncul sebagai ‘game master’ tanpa diduga Umno dan BN.

Ia bagaimanapun tidak berkesampaian akibat ketetapan Mahkamah Rayuan yang mengenepikan keputusan Mahkamah Tinggi terlebih dahulunya dan menjatuhkan hukuman penjara terhadap Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.






Namun, strategi Putrajaya versi 2.0 tidak wajar berhenti begitu sahaja, dan kini, isu sama ada wanita sesuai untuk menyandang jawatan MB negeri Selangor sekali lagi memberi peluang kepada Pakatan untuk memecahkan peraturan tidak bertulis – yang mana hanya lelaki dilantik sebagai pemimpin tertinggi dalam pentadbiran negeri.


KPRU berpendapat, keberanian Pakatan dalam menggerakkan pembaharuan ini dengan melantik seorang MB wanita bagi memimpin negeri Selangor bakal menjana kuasa baharu yang terus membangkitkan perjuangannya sehingga menawan Putrajaya.


Marilah rakyat Malaysia bersama-sama menaruhkan harapan bahawa negara ini bakal menyaksikan kelahiran perdana menteri wanita pertama yang akan mengisi impian rakyat jelata ekoran keberanian Pakatan pada hari ini. -M'kini



No comments: