Isu Kazim: PAS atau Najib yang patut malu? - Shahbudin Husin


Sama ada pendakwah bebas, Ustaz Mohammad Kazim Elias menerima atau menolak tawaran menjadi ahli Majlis Tertinggi Umno masih lagi menjadi tanda tanya. Ustaz Kazim sendiri belum memberi kata putus. Katanya, beliau perlu berjumpa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak terlebih dahulu sebelum membuat keputusan mengenainya.

Menurutnya, beliau ingin mendapat jaminan daripada Perdana Menteri agar pelantikan itu tidak menghalang kerja dakwahnya. "Tunggulah saya sembahyang istikharah dulu," tambahnya lagi.

Namun demikian, sementara pelantikan beliau ini terus menjadi pertikaian, Ustaz Kazim juga mengesahkan bahawa beliau masih merupakan ahli PAS kawasan Tambun, Perak. Meskipun dulu, katanya, ada ura-ura mahu memecatnya tetapi sehingga ini beliau tidak pernah menerima apa-apa surat surat pemecatan atau surat daripada jawatankuasa disiplin PAS.

Soalnya benarkah PAS yang patut malu atau Najib yang lebih patut malu?

Tindakan Najib mempelawa seseorang yang masih menjadi ahli PAS untuk menduduki kerusi MT Umno seharusnya juga menunjukkan beliau tidak berhati-hati dan mengkaji latar belakang seseorang itu sebelum membuat tawaran. Membuat pelawaan kepada ahli PAS ini umpama suatu penghinaan dan perlekehan paling teruk kepada kira-kira 3.4 juta ahli Umno dan seolah-olah tidak ada seorang pun daripada jutaan ahli yang dibanggakan itu yang lebih baik dan setanding dengan Ustaz Kazim yang masih merupakan ahli PAS.

Bukankah di dalam Umno masih ramai lagi mereka yang berpengetahuan agama yang boleh dijadikan ahli MT Umno?

Kalau benarlah seperti kata Tengku Adnan bahawa pelantikan Ustaz Kazim untuk membetulkan kekurangan mengenai Islam dalam Umno, apakah Ustaz Fathul Bari yang mendapat undi tertinggi sebagai Exco Pemuda Umno, bukan calon yang sesuai untuk melakukan tugas itu?

Atau apakah Dr Hasan Ali, bekas Pesuruhjaya PAS Selangor yang dipecat daripada PAS dan tidak menganggotai mana-mana parti, tidak merupakan calon yang lebih baik atau setanding dengan Ustaz Kazim?
Atau jika Najib terlalu ghairah dan teringin untuk melantik ahli PAS juga menduduki kerusi MT sebagai menunjukkan Umno lebih mencintai Islam berbanding PAS, apakah tidak boleh dilantik bekas Timbalan Presiden PAS, Nasaruddin Mat Isa yang sudah pun kerap dibawanya ke keluar negara sebelum ini?

Melantik mereka yang masih belum menjadi ahli Umno sebagai ahli MT juga menunjukkan sikap "double standard" Najib dalam menghayati semangat perlembagaan parti. Ini kerana dalam perlembagaan menetapkan, sebagai contoh, mereka yang ingin bertanding AJK Bahagian mestilah sekurang-kurangnya sudah menjadi ahli Umno tidak kurang 3 tahun manakala kalayakan untuk bertanding ketusi MT pula mestilah juga pernah menduduki kerusi AJK Bahagian.


Seharusnya, dalam soal perlantikan ahli MT, semangat perlembagaan itu juga dihayati dengan sebaiknya. Kalau pun syarat pernah menduduki AJK Bahagian mahu diketepikan, setidak-tidaknya syarat sebagai ahli Umno mestilah sentiasa dijunjung untuk menunjukkan bahawa Umno sebenarnya menghormati ahlinya.


Walaupun kuasa Najib sebagai Presiden Umno dalam melantik ahli MT ini merupakan kuasa mutlaknya tetapi menawarkan kerusi MT kepada Ustaz Kazim yang masih merupakan ahli PAS ialah umpama seorang lelaki yang menghebohkan mahu mengahwini seorang wanita dan membuat pengumuman rasmi mengenainya sedangkan wanita tersebut masih lagi menjadi isteri yang sah kepada lelaki lain.


Siapakah yang lebih malu sebenarnya. – shahbudindotcom.blogspot.com, 2 Disember, 2013.

No comments: