Kempen anti GST, TPPA Pakatan Rakyat bermula di Lembah Pantai
Dengan kehadiran lima panel yang terdiri daripada pemimpin ketiga-tiga parti dalam PR - PAS, PKR, DAP - ceramah di Dewan Gasing Indah, Petaling Jaya itu menyaksikan sekitar 150 penduduk setempat hadir mendengar penerangan berhubung GST dan TPPA.
"Kita bukan menjalinkan kerjasama dengan Barrack Obama, dia baik. Kita tandatangan TPPA dengan syarikat korporat Amerika Syarikat (AS) yang hanya mementingkan keuntungan," kata Ahli Parlimen Kelana Jaya, Wong Chen dalam ucapannya malam tadi.
"AS sendiri ditadbir oleh syarikat korporat,” kata ketua Biro Pelaburan dan Perdagangan PKR itu lagi.
"Kita tiada kuasa untuk menghalang TPPA di Parlimen. Memang susah, (Perdana Menteri Datuk Seri) Najib (Razak) komited untuk menandatangani perjanjian dengan korporat AS.
"Kita perlu bersedia menjaga ekonomi kita sekiranya TPPA ditandatangani,” katanya.
Wong Chen mendakwa, AS meletakkan 400 peguam mereka untuk meneliti terma perjanjian berkenaan, sedangkan Malaysia dakwanya hanya meletakkan kurang 30 peguam untuk meneliti TPPA.
"Macam mana hendak lawan?.
"Kita tidak tolak perjanjian bebas kerana ia baik untuk membasmi kemiskinan, namun kita hendak pastikan ia tidak disalahgunakan," katanya.
Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar turut membangkitkan perkara sama, dan menyeru rakyat menolak TPPA sehingga anggota pembangkang dalam Kaukus TPPA menerima dokumen perjanjian perdangan berkenaan.
"Jika TPPA adalah bentuk penjajahan terbaru AS, GST pula penjajahan bentuk baru Umno, Barisan Nasional (BN) terhadap rakyat Malaysia," kata Naib Presiden PKR itu.
"Kita tidak akan setuju dengan TPPA sehingga kandungan daripada Bab 1 hingga Bab 29 perjanjian itu kita terima," katanya.
Nurul Izzzah berkata, melalui perjanjian TPPA, pelaksanaan gaji minimum juga tidak akan dapat dilaksanakan kerana ia bercanggah dengan terma perjanjian yang berat sebelah kepada syarikat korporat.
"Gaji minimum tidak akan terlaksana kerana ia terikat dengan TPPA.
"TPPA ada terma yang menghalang gaji minimum," katanya.
Selain Wong Chen dan Nurul Izzah, turut hadir dalam ceramah malam tadi adalah Ketua Pemuda PAS Terengganu, Kamarulzaman Abdullah; Yang Dipertua PAS Lembah Pantai, Adlin Soleh; Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari dan Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago.
Zairil berkata, pengenalan GST seperti yang diumumkan Najib ketika pembentangan Bajet 2014 adalah untuk menampung kadar hutang negara yang semakin meningkat.
"Bagaimana kerajaan kata GST tidak akan membebankan rakyat? Kerajaan sendiri sudah kata keuntungan daripada GST akan memberikan pulangan dua kali ganda kepada kerajaan," katanya.
"Kadar hutang negara berjumlah RM41.5 bilion, dengan 54.8% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), GST akan digunakan menampung perbelanjaan ini," katanya.
Santiago berkata, ketirisan dalam perbelanjaan kerajaan mengakibatkan rakyat membela orang kaya di negara ini.
"Selama ini kita lihat orang kaya membela orang miskin, tetapi di Malaysia hari ini orang miskin membela kerajaan dan orang kaya. Memperkayakan orang kaya, dan orang miskin lingkup.
"GST sebenarnya cukai untuk membela orang kaya dan kerajaan BN," katanya.