Baki RM163 juta dibelanja NFC pasti ‘hangus’ – Rafizi
(Oleh Aisha Geoffrey)KUALA LUMPUR 9 JULAI: Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli mempersoal kemampuan kerajaan untuk mendapatkan semula keseluruhan RM250 juta yang diberi kepada Pusat Feedlot Kebangsaan (NFC).
Ini berikutan laporan terkini menyatakan kerajaan bersetuju untuk melantik satu konsortium baru bagi mengambil alih operasi projek yang sebelum ini diusahakan oleh NFC.
“Perjanjian itu tidak melibatkan operator baru untuk bertanggungjawab ke atas hutang RM250 juta yang telah diberikan kepada NFC,” kata Rafizi pada sidang media di lobi Parlimen, hari ini.
Pengarah Strategi KEADILAN itu berkata, Menteri Kewangan dalam jawapan sidang sebelum ini memberitahu, jumlah aset yang disita dan diambil kembali dari NFC hanyalah termasuk kedua-dua kondominium di One Menerung, Bangsar.
Selain itu, satu plot tanah di Bangi dan satu plot tanah di Putrajaya, malah operasi NFC telah dihentikan sepenuhnya sejak akhir tahun lepas.
“Pada anggaran saya, nilai harta yang telah disita dari NFC setakat ini hanya sekitar RM18 juta iaitu RM14 juta dari kondominium, dan RM2 juta setiap plot tanah,” kata Rafizi.
“Setakat Mac 2012, sejumlah RM181 juta telah diserahkan kepada NFC. Bermakna dari RM250 juta pinjaman yang diberikan kepada NFC, hanya RM69 juta yang masih boleh ditarik balik oleh kerajaan,” jelas Rafizi.
Menurutnya, dari RM181 juta yang diberi kepada NFC, hanya RM18 juta ditarik balik manakala baki RM163 juta agak sukar bagi kerajaan untuk mengutip semula.
“Ia kerana NFC sudah tidak beroperasi dan bukan lagi sebuah perniagaan ‘going concern’. Oleh itu ia boleh dikira sudah tidak berupaya menanggung hutang dan bakal melalui proses muflis,” jelasnya lagi.
Tambahnya, sebahagian dari dana itu telah digunakan untuk menanggung perbelanjaan bukan aset termasuk gaji, elaun perjalanan dan pelbagai belanja lain yang tidak boleh dikutip kerana tiada aset.
“Selain itu, kerajaan juga tidak mengenakan jaminan peribadi ke atas pengarah-pengarah NFC yang menyebabkan tanggungjawab mereka terbatas kepada pegangan saham mereka di dalam syarikat itu,” katanya.
“Dalam keadaan sekarang, saya beranggapan dana RM163 juta yang telah dibelanjakan NFC boleh dikira hangus dan tidak dapat dikutip lagi,” katanya.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=54186