Kalau Dr M sudah akui kelemahan, apa ‘formula’ penyelesaiannya? — Aspan Alias
Sejak pemilihan tahun 1987 dahulu dan setelah Umno asal itu dibunuh, dan wujudnya Umno yang sekarang ini, berbagai-bagai keadaan telah kita lihat dalam isu pemilihan kepimpinan Umno itu.
Perpecahan itu bermula apabila pihak yang memenangi pemilihan itu ,menjadi “sore winner”. Pihak yang memenangi pemilihan itu, telah menentang pucuk pimpinan semasa itu dianggap sebagai satu jenayah. Sedangkan perlembagaan parti semasa itu membenarkan mana pihak dan ahli menawarkan diri untuk memegang apa-apa jawatan jika merasakan boleh membetulkan keadaan yang tidak betul dalam parti.
Selepas itu wujud pula sistem yang seseorang yang ingin mencabar jawatan Tertinggi terpaksa mendaftarkan niat mereka terlebih dahulu. Berbagai-bagai cara pimpinan Tertinggi lakukan untuk mereka susah dicabar dan semasa itu bermulalah kematian demokrasi secara terus-terusan dalam Umno. Parti itu melebihkan usaha untuk memagar dan menjaga kepimpinan parti dari menjaga kehendak ahli dan sampailah sekarang berbagai-bagai cara untuk tidak membolehkan Presiden itu dicabar.
Slogan “Malaysia Boleh” itu boleh diaplikasikan dalam apa jua perkara. Yang tidak boleh hanya bertanding jawatan Presiden Umno sahaja. Kenapa ini semua berlaku? Ia bermula apabila yang menang menjadi “sore winner” dan segala rancangan untuk menyekat kemaraan orang yang baik dan “viable” untuk Umno diberikan tumpuan sehinggakan Umno itu sudah tiada kepimpinan lagi.
Apa yang dikatakan oleh Dr Mahathir itu adalah benar tetapi saya ulangi apa yang beliau tidak menyebut dengan jelas ialah segala-gala ini bermula dari permainan politik beliau sendiri.
Kalau benar Dr Mahathir mahukan keadaan Umno seperti dulu kala, maksud saya sebelum beliau mengambilalih kuasa pada tahun 1991 dahulu. Jika beliau masih berkemampuan dan diterima pandangan beliau, Dr Mahathir perlu berusaha mengembalikan keadaan Umno seperti semasa beliau mula mengambilalih dahulu. Tetapi masalahnya masihkah ada yang ingin mendengar nasihat beliau jika beliau jujur untuk melakukan perubahan itu?
Jika pandangan beliau masih diterima dan mempunyai pengaruh dalam partinya, masih ingatkah Dr Mahathir apa yang baik dalam Umno sebelum beliau mengambilalih kuasa dahulu? Jika beliau masih ingat apa kah yang baik yang pada pimpinan semasa itu, dengan yang buruk pada pimpinan sekarang yang Dr Mahathir katakan itu?
Beliau mesti tahu dan memahami apa yang baik dahulu dan yang buruk sekarang ini. Barulah mudah untuk dilakukan perubahan dan menyelesaikan jika tidak semua, sebahagian besar dari masalah-masalah yang ada.
Kalau semua jawapannya “yes”, apakah beliau sanggup melakukan perubahan itu dan selepas itu bergembira dan bersyukur kepada yang Esa kerana akhirnya beliau kembali kepada politik untuk orang Melayu dan seluruh rakyat yang sebenarnya?
Persoalannya apakah cara yang hendak beliau lakukan jika beliau masih dihormati atau setidak-tidaknya di geruni oleh pimpinan dan ahli-ahli Umno yang bertaburan di seluruh negara ini? Untuk melakukan perubahan itu beliau mesti ada manusia yang bersama beliau yang masih berkemampuan untuk kembali kepada situasi yang baik yang pernah dirasai rakyat semasa beliau belum mengambilalih kuasa negara diwaktu itu.
Apa yang saya bersetuju dengan Dr Mahathir hari ini adalah berdasarkan kepada “assumption” yang beliau jujur meluahkan perasaan beliau tentang Umno hari ini. Pimpinan hari ini adalah kumpulan pimpinan yang terdidik semasa Umno sudah kehilangan identitinya sebagai sebuah parti yang benar-benar bertanggungjawab kepada negara dan rakyat berbilang kaum dinegara ini.
Justeru tidak mungkin mereka dapat “appreciate” apa yang dikatakan kebaikan semasa sebelum Dr Mahathir mengambilalih kepimpinan dahulu. Pimpinan hari ini masih bermain dengan tali seluar lagi semasa itu kerana Dr Mahathir berada diatas lebih dari dua dekad yang menyebabkan budaya baik yang ada semasa beliau mula-mula mengambilalih kuasa dahulu.
Kalau ada pun yang masih hidup dan sihat sekarang ini hanya tinggal Musa Hitam dan Tengku Razaleigh Hamzah sahaja yang boleh dibawa berunding bagi menyediakan kepimpinan yang baik selepas ini dan mewariskan kepada yang telah dilatih untuk meneruskan kepimpinan rakyat dimasa-masa yang akan datang. Bawa sekali wakil-wakil dari semua bangsa, agama dan semua pimpinan politik ke meja bulat dalam perundingan untuk mencari “formula” baru yang dimaksudkan.
Bagi saya untuk mencapai matlamat politik negara yang baik, seperti matematik, ia mesti ada “formula” yang betul bagi mendapat jawapan yang betul dan tepat. Bagi pandangan saya itu sahajalah nama yang tinggal jika benar kita mahu menyusun “formula” yang baik dan tepat itu.
Selepas sahaja “formula” itu diperolehi maka serahkanlah “formula” itu kembali kepada sesiapa yang muda-muda yang mampu membawa negara lebih ‘progressif’ untuk generasi yang akan datang nanti dengan mengikuti “formula” yang telah di wujudkan secara mesyuarah diantara semua pihak di negara ini.
Lupakan perasaan ego dan sengketa yang lalu semata-mata untuk generasi kita yang akan datang.Jangan terpengaruh dengan bisikan khatir yang bathil itu agar kita terjurus kepada melakukan niat yang baik kita itu.Kadangkala seteru kita yang akhirnya memberikan keselamatan kepada kita sendiri dan kadangkala kepada keluarga dan sanak saudara kita.
Saya sendiri tidak tahu, tetapi inikah yang saya serta ramai yang lain maksudkan sebagai usaha membentuk sebuah negara baru yang kami selalu impikan itu? — aspanaliasnet.blogspot.com