Calon PAS, PKR & DAP Yang Bertanding Sesama Sendiri Adalah Hantu MSO

Calon PAS, PKR & DAP Yang Bertanding Sesama Sendiri Adalah Hantu

ULASAN KASAR                                                                                                              

Sejak semalam saya dihujungi dengan panggilan telefon dan sapaan menerusi PM Facebook dan whatsap mengenai pertandingan bertindih di antara calon PAS dengan calon PKR di lapan kerusi termasuk pertembungan calon DAP dengan calon PSM.


Masing-masing mahukan penjelasan kenapa perkara itu boleh berlaku. Mereka juga mahukan penjelasan dan menganggap apa yang berlaku itu sesuatu yang malang dan menyedihkan sekali. Mereka menyifatkan pertembungan itu sebagai simbol Pakatan Rakyat tidak sekata dan padu sekaligus menjatuhkan nilai PR sebagai parti pengganti kepada UBN.


Membimbangkan kata mereka pertindihan itu menyebabkan anak-anak muda yang baru berjinak dengan Pakatan Rakyat akan kecewa dan menganggap Pakatan Rakyat tidak serius untuk menumbangkan UBN.

"Tuan, ulaslah kenapa berlaku pertandingan sesama sendiri, kejadian ini boleh menyebabkan Pakatan Rakyat akan kalah, bukan kerana musuh tetapi kerana bertading sesama sendiri," begitulah sunggut seorang pengirim yang lain dengan gaya penuh kesal.

Pengirim lain pula juga ingin penjelasan sambil bertanya kenapa perkara itu boleh berlaku dan menganggap apakah ianya disengajakan. "Harap tuan ulaslah kerana blog tuan berpengaruh," tekan yang lain.

Saya juga benci dan juak dengan apa yang berlaku. Tidak mahu menyentuhnya. Tidak sepatutnya pertindihan sebegitu berlaku. Dalam menyusun perang terhadap UBN tidak elok kalau masih ada askar bergaduh dan bergomol sesama sendiri. Nampak sangat askar kita tidak cukup latihan dan kurang disiplin. Bertanding sesama sendiri seolah berebut tulang kering dalam mangkuk plastik.

Ada lapan kawasan yang melibatkan pertandingan sesama sendiri ataupun PAS dan PKR sama-sama meletakkan calon untuk berdepan dengan UBN. Kawasan itu ialah; tiga kawasan di Terenggu; Bukit Besi, Kota Putra dan Seberang Takir. Satu kawasan masing-masing di Perak (Jelapang), di Selangor (Damansara) dan Sabah (Labuan).
Untuk kerusi Damansara calon PAS, Ridzuan Ismail dan calon PKR Dr Mohd Nasir Hashim masing-masing mendaftarkan diri bersama dua calon bebas untuk menentang calon UBN Halimaton Saadiah Bohan. Kerusi ini sebelum ini adalah milik Dr Mohd Nasir dari PCM yang bertanding atas PKR.

Di kerusi Bukit Besi (Terengganu) pula, Mohd Syamsul Md Amin (PKR) dan Roslan Ismail (PAS) menentang calon UBN, Rosli Daud. Kerusi Kota Putra, calon PKR Abdul Ghani Ibrahim dan calon PAS, Adam Mat Said akan menentang calon UBN Mohd Mahadi Musa.

Manakala di Seberang Takir calon PAS Zakaria Dagang dan calon PKR Ahmad Nazri Mohd Yusuf menentang calon UBN Ahmad Razif Abdul Rahman.

Manakala di kerusi Sungai Aceh, (Pulau Pinang) pula, calon PKR Badrul Hisham Shahrin dan calon PAS Mohd Yusni Mat Piah menetang calon UBN Muhammad Zakaria. Di kerusi Panti calon PAS Azlisham Azhar dan calon PKR Mohd Annuar Mohd Salleh menentang calon UBN Baderi Basuki.

Di Labuan pula calon PAS, Hadnan Muhammad dan calon PKR Ibrahim Manuddin menentang calon UBN Rozman Isli. Di Jelapang, Perak calon DAP, Teh Kock Ke dan calon PSM M Salavarthy menentang calon UBN S Mokan.

Khabarnya pemimpin ketiga-tiba buah parti itu sedanag berusaha untuk menyelesaikan pertindihan demikian demi memastikan kemenangan Pakatan Rakyat. Penyelesaian perlu kerana sekiranya gagal dan calon PAS dan PKR berdegil untuk terus berlawan dan tidak mahu berkompromi sudah pasti calon UBN di ketujuh-tujuh kerusi itu akan menang dengan mudah. Amat mustahil calon PAS dan PKR atau DAP akan menang kalau berlaku perebutan sesama sendiri. Tidak perlu menarik sampai 1,000 undi cukup seratus dua saja sudah cukup untuk menafikan kemenangan sesama sendiri.

Sekiranya semua pihak meletakkan kepentingan Pakatan Rakyat bukan kepentingan diri sendiri, penyelesaian dapat dilakukan. Tidak ada guna kalau semua calon-calon degil dan tidak berdisplin terus ingin berlawan kerana akhirnya mereka akan kalah. Sikap degil dan terus berlawan sampai ke hari mengundi bukan politik yang profesional sebaliknya politik 'kucarlana'.

Mengikut logik saja mereka akan kalah, apabila berlaku perpecahan undi. Calon UBN akan menang dengan mudah kerana undinya solid. Tidak usah banyak cukup kalau seratus atau dua ratus undi sahaja sudah cukup untuk menutup peluang masing-masing untuk menang.

Persoalan yang ingin diketahui kenapa berlaku demikian? Bukankah semua calon yang hendak bertanding itu harus membawa watikah masing-masing dan watikah itu pula dikeluarkan oleh pucuk pimpinan parti bukannya oleh ketua cawangan. Misalnya calon PKR perlu membawa watikah dari partinya begitu juga PAS dan DAP. Apakah sebelum watikah dikeluarkan kata putus yang konkrit tidak diambil dari kalangan pucuk pimpinan parti?

Kalau sudah ada keputusan konkrit tidak berlakulah pertidihan itu. Kelemahan di sini bukan calon yang mendaftarkan diri tetapi ketua parti yang mengeluarkan watikah. Tidak teliti dan kemas membuat keputusan. Kelemahan ini tidak syak lagi akan disuluh sebagai kelemahan kepimpinan Pakatan Rakyat dalam mengambil sesuatu tindakan.

Apa yang harus dilakukan sekarang ini ialah perlu ada mana-mana ikhlas menarik diri dan memberi sokongan kepada calon yang seorang lagi itu. Di sini memerlukan kebijaksanaan pucuk pimpinan. Mungkin kalau ia rumit untuk diselesaikan tindakan membayar ganti rugi kepada mana-mana calon boleh difikir kalau ianya praktikal?



Katakan kalau calon PAS ingin bayaran RM100,000 sebagai ganti rugi untuk tarik diri, ya bayar. Atau kalau ada tawaran rendah dari PKR misalnya RM50,000 bayar kepada calon PKR. Tetapi ingat kalau penyelesaian ini sampai ke peringkat bayar membayar ini nampak sangatlah calon-calon berkenaan haprak dan mata duitan. Tetapi kalau dengan cara lunak dan harmonis tidak dapat dilakukan, itulah formula terbaik.


Selebihnya kalau usaha secara baik dan komersial itu gagal biarlah 14 calon-calon hantu itu bertanding dan bertarung sesama sendiri. Kepada saya ia tidak memberi kesan kepada pembentukan kerajaan di negeri-negeri berkenaan kecuali Terengganu melibatkan tiga kerusi di mana jumlah itu agak besar juga. Tertakdir PAS Terengganu hanya memerlukan satu atau dua kerusi untuk memerintah, tiba-tiba ketiga kerusi berlaku pertindihan itu kalah, maka calon-calon hantu itu harus disalahkan. Mereka harus disula dan disebat kemudian mayatnya dilempar ke tengah laut.





Kita masih berharap moga ada penyelesaian. Dalam berdepan dengan soal-soalo maruah dan muka ini keikhlasan dan semangat berjiwa besar sangat diperlukan. Sesiapa di antara 14 orang calon itu yang sedia menarik diri marilah kita sama-sama menjujung mereka sebagai pemimpin sejati dan memahami tanggungjawab sebagai pemimpin berjiwa rakyat. [wm.kl.3:19 pm 21/04/13]