UMNO-BN ancam keselamatan negara

UMNO-BN ancam keselamatan negara
5 March 2013
PETALING JAYA, 5 MAC: Ketika Malaysia bakal berhadapan dengan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) yang dijangka merupakan pilihan raya terkotor dalam sejarah negara, rakyat terus ditakutkan dengan hegemoni huru-hara dan kacau bilau sekiranya Pakatan Rakyat (PR) berkuasa.

Dengan menafikan tuduhan jahat itu,Pengarah Strategi Pilihanraya DAP, Dr Ong Kian Ming berkata, tidak ada seorang pun rakyat Malaysia yang matang mahu negara ini berada dalam keadaan tidak stabil.

Beliau menjelaskan bahawa yang terbukti sering mencetuskan ketakutan dan kacau-bilau ialah BN yang sering menyalahgunakan kuasa.

“Saya ingin tanya anda satu soalan, ketika lebih 200,000 peserta Bersih 3.0 berkumpul secara aman di Dataran Merdeka, siapa yang mula mencetuskan kekacauan? Bukannya peserta tetapi pihak berkuasa!

“Di bawah kuasa Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, beliau menggunakan kuasanya mengarahkan pasukan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) untuk bertindak ke atas peserta himpunan aman,” katanya selepas majlis perasmian Pusat Operasi Pilihan Raya Petaling Jaya Utara, malam tadi.

Katanya, ketika itu ratusan ribu peserta Bersih 3.0 yang berhimpun secara aman diserang dengan tembakan gas pemedih mata dan semburan air dan tidak terkecuali, orang tua dan keluarga yang datang bersama anak mereka turut menjadi mangsa.

“Selain insiden Bersih, yang terkini ialah provokasi melampau Ibrahim Ali yang mahu membakar Bible. Ini benar-benar mengancam keselamatan negara dan keharmonian rakyat Malaysia.

“Mengapa dia tidak diambil tindakan oleh kerajaan? Bayangkan sekiranya yang berbuat demikian itu adalah pimpinan bukan Islam daripada PKR, DAP atau PAS. Adakah anda rasa bahawa mereka akan bebas? sudah tentu tidak!

Tambahnya, jika ia berlaku sudah tentu pimpinan oposisi itu akan diambil tindakan segera samada dipenjarakan atau ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau dikenali SOSMA.

Dengan menafikan tuduhan huru-hara negara ini sering dilakukan oleh PR, Dr Ong Kian Ming mengingat kembali hadirin apa yang pernah dilafaz oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sendiri.

Menurut beliau, Perdana Menteri pernah berkata, “walaupun berkecai tulang dan juga badan, walaupun berkecai jasad dan nyawa. Saudara-saudari, walau apa pun yang terjadi, Putrajaya mesti kita pertahankan!”

“Adakah anda masih ingat, orang yang sama ini juga pernah mengugut untuk membasahkan keris dengan darah orang bukan Melayu semasa beliau menjadi Ketua Pemuda UMNO,” katanya di hadapan kira-kira 2,000 hadirin.

Justeru itu, beliau mahu agar kempen menakut-nakutkan BN yang dipropaganda selama ini dihentikan.


“Jika berlaku perpindahan kuasa daripada BN kepada PR pada PRU-13 nanti, ia harus dilakukan secara aman,” ujarnya.-Roketkini.com