Jika menang, Pakatan humban pemimpin rasuah ke penjara – Anwar

Jika menang, Pakatan humban pemimpin rasuah ke penjara – Anwar

KUALA LUMPUR 29 Jan: Pakatan Rakyat bakal menghumban mana-mana pemimpin terlibat rasuah ke penjara sebagai balasan ke atas jenayah dilakukannya, tegas Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Katanya, hukuman setimpal itu wajar dilaksana tanpa mengira latar politik dan ia disepakati pimpinan Pakatan untuk membersihkan sistem pentadbiran negara.
“Jika ada pemimpin di mana-mana peringkat yang mengamalkan rasuah, kita akan pastikan mereka bakal menerima hukuman penjara,” katanya di depan 10,000 hadirin pada Ceramah Jelajah Merdeka Rakyat di Pekan Pasir Besar, Gemas, Negeri Sembilan, malam kelmarin.

Beliau menempelak kerajaan Umno BN menggunakan isu agama Islam dan nasib orang Melayu menjadi bahan kempen bagi menghalang pemimpin Pakatan.
Anwar berkata, barisan kepimpinan Pakatan dengan dibantu penyokong perlu melengkapkan diri dengan persiapan mental dan emosi sebagai menghadapi sebarang kemungkinan pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU 13).


“Kita kena muafakat, kita ambil keputusan, kita berhimpun ikhtiar. Kita kukuhkan jentera ikhtiar, kita pakat KEADILAN, PAS, DAP kita ikhtiar. Akhirnya kita bertawakal kepada Allah. Mudah-mudahan Allah beri kita ukhwah,” katanya.
 
Menurut beliau, sepanjang tempoh mesyuarat Pakatan sebelum ini, tidak pernah terdengar suara dari Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang untuk membalas dendam jika gabungan itu menang PRU13.
“Kita tidak pernah menyuarakan sekiranya kita menang untuk membalas dendam. Tetapi semuanya sepakat sekiranya kita menang, kita akan pimpin dengan adil dan membela nasib masyarakat,” katanya dipetik Sinar Harian.

Turut hadir, Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Mohamad Taufek Abd Ghani; Pengerusi DAP Negeri, Anthony Loke dan bekas Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Lajim Ukin.




PENJARAKAN DULU PENGERUSI SPR KERANA MENIPU.....