Najib dan era sukar Umno — Anuar Mohd Nor
December 30, 2012
31 DIS — Semakin banyak yang mula diperkatakan mengenai PRU 13
yang semakin hampir sungguhpun belum ada penetapan kepastian dibuat oleh
kerajaan. Semakin hampir kita kepada PRU 13 semakin banyak bom-bom yang
mahu diletupkan oleh parti politik yang kini pantas dan lantang untuk
memastikan kemenangan. Akhirnya semua parti politik yang mahu bertanding
berlaga-laga untuk mencari kesalahan masing-masing. Satu resam politik
tidak sihat. Semua akur bahawa PRU 13 ini merupakan PRU yang paling
sengit yang mampu menggoncang BN dan Umno sendiri.Akhir-akhir ini isu yang dibawa oleh pembangkang adalah isu Zahid Hamidi — Naib Presiden Umno yang juga Menteri Pertahanan memasuki gelangang untuk menyelesaikan masalah Deepak Jaikishan — peniaga karpet yang telah membuat berbagai tuduhan terhadap Najib — Rosmah dan isu pembelian kapal selam serta isu pembunuhan Altantuya. Namun isu itu tidak sekuat isu spekulatif bahawa Najib harus di keluarkan dari senario politik Umno bagi membersihkan Umno dan memberi ruangan kembali untuk BN berkuasa. Isu yang meletakkan Najib — Rosmah sebagai liabiliti Umno semakin kuat kedengaran sealiran dengan nada Tan Sri Muhyiddin Yassin — Timbalan Perdana Menteri mengakui — PRU kali ini amat sengit sungguhpun beliau yakin BN akan menang.
Adakah benar wujud suara-suara dalam Umno sendiri yang mahu Najib disingkirkan sebelum PRU 13 nanti atau suara ini adalah suara perang saraf media oleh pembangkang. Apa pun adakah benar Najib menjelang PRU 13 ini sudah mula terpalit dengan berbagai isu yang memberi kesan besar terhadap peluang BN/Umno dalam PRU 13 nanti. Adakah transformasi politik Najib yang mahu dibawa dalam Umno menemui jalan buntu dengan perubahan yang tidak dapat dilangsungkan kepada ahli Umno sendiri?
Semakin deras suara-suara peringkat bawahan mengenai isu calon, isu siapa yang sepatutnya menjadi calon mampu menang dan apakah ini akan diterima baik sekiranya calon tempatan tersingkir dengan calon pilihan Najib. Semakin membiak isu-isu Najib tiba-tiba wujud dengan kehadiran tuduhan yang melibatkan isteri beliau sendiri. Semakin galak pendedahan baru dibuat dan yang pasti isu yang menghentam Najib semakin lantang dan semakin terbuka.
Adakah mampu Najib bertahan sekiranya isu khusus seperti kapal selam, Deepak, Balasubramaniam dan peranan menutup cerita oleh Dato Zahid Hamidi serta kehadiran berita-berita spekulasi SUARAM mengenai sidang mahkamah di Perancis terus membengkak. Adakah Najib dapat bertahan dengan masalah dalaman Umno dengan pemilihan calon, kehadiran broker kuasa dalam Umno yang tidak dapat ditepis kehadirannya dan hasrat dan matlamat individu dalam Umno sendiri.
Najib terus dihadapkan dengan berbagai tuduhan dan ini semakin galak dengan kehairanan kita mengenai pendedahan demi pendedahan yang dibuat oleh pembangkang terhadap isu yang melibatkan Najib. Apa yang jelas kelihatan dalam pusingan akhir sebelum pengumuman PRU 13 ini, Najib menjadi isu utama — seakan diserang bertubi-tubi dan menjadi fokus pembangkang. Suara penentangan dalaman dengan kehadiran broker kuasa dalam Umno juga menjadi penumpuan utama dan kehadiran broker kuasa ini amat benar mengambil insiden penentangan Pak Lah dahulu.Adakah Najib dapat bertahan – sebagai Presiden Umno dan adakah Umno/BN dapat bertahan dalam PRU 13 seolah-olah menjadi persoalan utama dalam Umno waktu ini. Melihat cara pembangkang menghentam Najib serta kerunsingan kepimpinan Umno/BN mengenai isu khianat dalam Umno/BN memberi isyarat kepada kita bahawa Umno/BN sedang meneliti sebarang kemungkinan yang akan berlaku sewaktu isu pengumuman calon BN/Umno nanti.
Tanggungjawab Najib semakin berat dalam keadaan sekiranya beliau turut ditentang oleh dalaman Umno. Ahli Umno seakan masih terpingga-pingga dalam mendefinisikan transformasi politik dalam Umno. Ahli Umno perlu mengisyaratkan perubahan termasuk apa yang dipanggil kematangan politik yang perlu ada dalam Umno sendiri. Orang Umno — seperti yang ditekan oleh Najib perlu menyerapkan kematangan berpolitik — menyedarkan diri bahawa politik hari ini bukan dalam proses penuaan tetapi dalam proses perubahan – menjadikan ianya baru — lebih terperinci dan lebih intelektual. Cara-cara usang akan hanya menjadikan BN/Umno ketinggalan dan akhirnya amat jauh dari keremajaan politik yang diharapkan oleh rakyat. Persoalan yang sering ditanya dalam sirkulasi perjumpaan Umno — adakah BN/Umno mampu bertahan?. —
ANUAR MOHD NOR
* This is the personal opinion of the writer or publication and does not necessarily represent the views of The Malaysian Insider.