Khalid Samad : Umno Mesti Terima Kekalahan Dalam Pilihanraya


SHAH ALAM,  JUN: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak diminta memberikan jaminan peralihan kuasa akan berlaku secara aman sekiranya rakyat memilih untuk membuat perubahan pada Pilihanraya Umum ke-13.
Menurut MP Shah Alam, Khalid Samad, permintaan ini relevan kerana sejak kebelakangan ini banyak pimpinan Umno-BN mengakui mereka akan berhadapan dengan satu pilihanraya sengit kali ini.
“Ini menunjukkan satu kesedaran bahawa suasana dalam masyarakat telah banyak berubah dan sokongan kepada Barisan Nasional telah menurun dan ada kemungkinan berlakunya peralihan kuasa dimana mereka kalah dalam pilihanraya,” katanya.
Katanya, situasi ini merupakan satu perkara biasa dalam mana-mana sistem demokrasi dan tidak ada jaminan mana-mana parti akan berkuasa selamanya.
Jelas Khalid, Najib Razak selaku Perdana Menteri dan Presiden Umno sepatutnya menyediakan rakyat dan penyokong mereka sendiri untuk berhadapan kemungkinan sedemikian.
“Umno-BN perlu menyempurnakan ayat-ayat mereka itu dengan sekiranya kalah maka kita akan akur dan patuh kepada kehendak rakyat,” katanya di dalam satu tembual dalam program Terus Terang bersama editor TVSelangor Mat Zahari Ali.
“Dan kita memohon semua penyokong-penyokong kita juga menunjukkan sikap yang terbuka menghormati sokongan rakyat dan menerima keputusan ini dengan hati yang terbuka. Jangan bertindak ganas, ini demokrasi,” katanya.
Beliau menambah, Pakatan Rakyat sebelum ini sudah menghadapi banyak kekalahan terutama sekali PAS dan telah menunjukkan kesanggupan untuk menerima kekalahan.