KUALA LUMPUR 9 Mei: Keenggananan kerajaan Persekutuan membenarkan
pelapor khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyiasat keganasan
yang berlaku pada Bersih 3.0 membuktikan pentadbiran kuku besi Umno BN.
Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Saifuddin Nasution berkata, hanya
negara yang mengamal pemerintahan kuku besi menolak pemerhatian
institusi yang diiktiraf antarabangsa.
“Seperti
Zimbabwe, Presiden Robert Mugabe tidak membenarkan PBB melihat
perjalanan demokrasi negara itu. Ia menyebabkan Zimbabwe terasing dari
dunia.
“Pemerintahan junta tentera Myanmar juga menutup pintu dari
pemerhatian antarabangsa. Begitu juga di Indonesia – Suharto, Filipina –
Marcos dan negara Arab lain,” katanya hari ini.
Mugabe terkenal sebagai pemerintah zalim yang sanggup membunuh dan
menyeksa rakyat termasuk menembak mati pasangan suami isteri selepas
membunuh anak lelaki mereka.
Semalam, Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman menolak tawaran Frank
William La Rue dengan alasan orang luar tidak perlu menyiasat kerana
Malaysia mampu melakukannya.
Perhimpunan itu menarik perhatian La Rue kerana berpendapat peserta
tidak agresif mahupun mengingkari arahan tetapi polis yang bertindak
ganas.
Saifuddin menyifatkan keengganan Umno itu bertujuan menyembunyikan
keganasan, menutup propaganda media kerajaan dan tuduhan mengguling
kerajaan.
“Jika wakil PBB siasat, ia akan membongkar semuanya. Dunia akan tahu
tiada usaha guling kerajaan, sebaliknya wujud keganasan dan bukti media
arus perdana berat sebelah,” katanya.
Perhimpunan Bersih 3.0 menyaksikan lebih 300,000 rakyat berhimpun di
jalan menghala ke Dataran Merdeka bagi menuntut kerajaan melaksana
pilihan raya yang adil.
Bagaimanapun, himpunan itu dicemari keganasan polis – peserta termasuk orang tua, wanita dan wartawan cedera dibelasah.
http://www.keadilandaily.com/?p=30162