Isu seks hanya propaganda UMNO/BN

SHAH ALAM - Dakwaan penyebaran gambar mirip Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali dengan seorang wanita dianggap propaganda Barisan Nasional (BN) untuk menutup isu besar menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Ketua Penerangan Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, isu skandal itu hanya helah politik kerajaan BN untuk mengelak beberapa isu negara yang kian meruncing seperti Bersih 3.0 dan penyelewengan berkaitan syarikat National Feedlot Corporation (NFCorp).

Menurutnya, dengan meletakkan nama Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak sebagai mangsa dalam skandal baru ini, ia seolah-olah dapat memberi gambaran buruk terhadap Pakatan Rakyat.

“Pas melihat politik mereka (BN) tidak bermaruah dan jauh dari etika Islam. Dalam Islam, apabila maruah seseorang jadi dagangan orang lain dan fitnah, boleh dikena hukuman­ qazaf.

“Azmin sendiri sudah menafikan sekeras-kerasnya perkara itu. Ini sudah dianggap satu fitnah besar dan dalam Islam sendiri Nabi melarang umatnya menyebarkan perkara fitnah sebegini,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Tuan Ibrahim turut menggesa kerajaan khususnya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyekat segera sebarang gambar Azmin dari terus tersebar.

Sinar Harian