Panel mahu SPR bersihkan daftar pengundi

Panel mahu SPR bersihkan daftar pengundi


KUALA LUMPUR, 3 April — Panel khas Parlimen menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memberikan keutamaan bagi membersihkan daftar pemilih daripada sebarang kegiatan manipulasi.

Panel berkenaan dalam laporan akhir mereka yang dibentangkan di Dewan Rakyat pagi ini turut mencadangkan pembentukan Jawatankuasa Khas Pilihan Parlimen (PSC) diteruskan bagi memantau dan memastikan daftar pemilih terus bersih dan bebas.

Cadangan tersebut dikemukakan selepas dakwaan berterusan pemimpin pembangkang dan kumpulan pemerhati seperti Bersih 2.0 terhadap kegiatan manipulasi dalam daftar pemilih, termasuk kewujudan pengundi bertindih dan peningkatan mencurigakan di sesetengah kawasan pengundian.

“Jawatankuasa mencadangkan agar SPR dengan kerjasama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) memberikan kerjasama berterusan untuk membersihkan daftar pengundi bagi memastikan daftar pengundi yang digunakan di dalam pilihan raya adalah sah,” kata panel dalam laporan tersebut.

Panel berkenaan turutt mendedahkan sehingga 20 Mac ini, sejumlah 483 anggota polis telah memohon untuk kad MyKad atau MyTentera.

“Jawatankuasa mencadangkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengambil tindakan sewajarnya dalam tempoh 60 hari selepas laporan lengkap ini dibentangkan di Parlimen,” kata panel.

Turut dicadangkan agensi yang bebas seperti Mimos Berhad ditugaskan untuk bekerjasama dengan SPR untuk mengemaskini daftar pengundi berkenaan.

Panel berkenaan turut mendedahkanpengesahan daripada Mimos menunjukkan sejumlah 324 alamat dengan lebih 100 individu didaftarkan sebagai pengundi dan 938 alamat antara 51 dan 100 pengundi berdaftar.

Menurut panel, punca kepada masalah tersebut adalah alamat yang tidak lengkap, seperti alamat yang menggunakan perkataan “kampung”, “rumah pangsa”, “rumah panjang”, dan “jalan” tanpa nombor rumah, alamat bersama, dan alamat pengundi “peminjam”, yang mana alamat digunakan oleh individu lain yang membolehkan mereka berdaftar di kawasan spesific.

Sehubungan itu, panel berkenaan mengarahkan SPR untuk menggunakan tempoh 45 hari untuk menunjukkan senarai pengundi di mana lebih 50 didaftarkan di bawah satu alamat.

“Ini bagi membolehkan mereka (pengundi) tampil dan membolehkan SPR membersihkan senarai daftar pengundi. Hasilnya kemudian harus di laporkan kepada jawatankuasa khas Parlimen yang dilantik,” kata panel.

Antara cadangan lain, panel turut menuntut pemindaan peruntukan undang-undang yang membolehkan SPR memadamkan nama daripada senarai daftar pengundi, apabila menerima bukti individu berkenaan bukan pengundi sah.

Laporan PSC itu sedang dibahaskan di Parlimen.

Sembilan ahli bipartisan PSC telah diumumkan Datuk Seri Najib Razak tahun lalu setelah berbulan lamanya pentadbiran beliau menerima kritikan ketika menguruskan perhimpunan Bersih kedua pada 9 Julai.

Selepas13 mesyuarat, enam pendengaran awam, dan lawatan ke beberapa negara luar, panel berkenaan mengemukakan 22 22 hasil laporan akhir dan akan diserahkan kepada wakil rakyat di Parlimen semalam. Daripada kesemua hasil laporan tersebut, terdapat empat perkara yang tidak dipersetujui panel.