54 bandar dari 30 negara: Hentikan Lynas, Selamatkan Malaysia!

Meskipun berasal dari bandar dan negara yang berlainan, malah barangkali tidak kenal mengenal antara satu sama lain, namun mereka disatukan atas satu slogan "Hentikan Lynas, Selamatkan Malaysia!" Dengan poster di sisi dan kamera di depan, mereka mengungkapkan perkara yang sama dengan bahasa yang berbeza, "Kami tolak kilang pemprosesan nadir bumi Lynas!"

Demikianlah mesej yang cuba disampaikan dengan satu klip video berjudul "STOP LYNAS SAVE MALAYSIA (International Version)", selama 4 minit 48 saat, dimuatnaik ke laman Youtube, semalam. Klip video ini diterbitkan atas inisiatif sekumpulan sukarelawan, termasuk Koh Wee Sun, Nicole Wong, Patrick Goh, Low Wawa, Weesiang Ng, James Cheng dan Joyce Ng, dengan muzik yang digubal oleh Hao Wei.

Klip video tersebut bertujuan untuk menyatakan satu mesej solidariti kepada penduduk Kuantan, "Saya seketul batu yang kecil, hilang begitu saja jika dibaling ke dalam air. Namun, jika ribuan riak air ditimbulkan, maka ia bakal mencetuskan gelombang, yang berakhir dengan tsunami untuk menghanyutkan segala yang buruk."

Dalam klip video tersebut, penduduk bandar yang berbeza dari negara seperti Amerika Syarikat, Perancis, China, Hungary, Indonesia, Korea dan sebagainya, mengangkat poster "Hentikan Lynas, Selamatkan Malaysia", dengan latar belakang yang berbeza, mereka menyatakan satu hasrat yang sama.

Menurut Koh Wee Sun, idea penerbitan klip ini bermula apabila Nicole Wong yang menuntut di Amerika Syarikat mengetahui isu pembinaan kilang pemprosesan nadir bumi Lynas di Kuantan. Nicole berharap dirinya mampu melakukan sesuatu. Kemudian usaha ini disokong Low Wawa yang menuntut di Taiwan, yang bertanggungjawab untuk menyunting klip tersebut.

Koh Wee Sun berkata, "Menjelaskan kepada penduduk di 54 bandar dari 30 negara, kemudian memujuk mereka untuk menyokong kami, dengan tegas menyatakan di depan kamera, 'Kami menolak Lynas'... Dengan sendirinya adalah satu projek yang besar! Dan proses ini diulangi sebanyak 54 kali! "

Selepas beberapa kali perbincangan hingga larut malam, dan suntingan sebanyak empat kali, Koh Wee Sun bagi pihak Nicole Wong dan Low Wawa menyatakan harapan mereka, bahawa klip video, dengan penduduk dari 54 bandar di rata-rata dunia, sedang berkata kepada rakyat Malaysia, "Anda tidak bersendirian."

Selain itu, Koh Wee Sun (gambar kanan) memaklumkan bahawa dua lagi klip video akan dimuatnaik, dengan salah satu daripadanya diterbitkan oleh Patrick Goh, yang dirakam di kalangan rakyat jelata Malaysia. Satu lagi klip video bakal merakamkan seruan daripada tokoh-tokoh seperti A. Samad Said, S.Ambiga, Wong Chin Huat, pemimpin mahasiswa Adam Adli, pelakon tempatan Mislina Mustaffa, penari Hilyati Ramli, artis Hariry Jalil, ahli politik seperti Lim Guan Eng, Nurul Izzah dan lain-lain lagi.

Baca: Golongan ibu kini tampil menyokong BERSIH 3.0

*Tulisan ini disedut, diterjemah dan disunting dari teks asal.