Tian Chua : Menconteng Bangunan Umno Usaha Memburukkan Imej Pakatan Rakyat




SHAH ALAM, 7 JAN : Insiden bangunan milik Umno Kedah yang diconteng kata-kata nista menggunakan cat tertera perkataan "Bebaskan Anwar" dan "Gerakan 901" awal pagi tadi dianggap sebagai taktik kotor untuk memburukkan imej Pakatan Rakyat.


Naib Presiden PKR Tian Chua meyifatkan perbuatan tidak bertanggungjawab itu sebagai satu konspirasi untuk menjatuhkan nama Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim selain mengaibkan Perhimpunan di depan mahkamah Jalan Duta yang akan berlangsung pada 9 Januari nanti.

Menurutnya, Pakatan tidak pernah mengeluarkan sebarang arahan untuk melakukan perbuatan tidak bermoral itu sekaligus menolak dakwaan bahawa kejadian itu mempunyai kaitan dengan Pakatan.

"Saya ingin mengingatkan semua pihak supaya jangan hilang fokus daripada isu pokok atau tujuan asal iaitu Perhimpunan 901 pada 9 Januari nanti.

Ini kerana, ia adalah hari yang akan menentukan imej negara kita dalam membuktikan sama ada institusi kehakiman di Malaysia adil atau tidak selain bakal menjadi hari yang akan mendedahkan konspirasi dalam usaha memfitnah dan memburukkan Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya yang juga Ahli Parlimen Batu.

Kejadian menconteng premis dan kenderaan di beberapa tempat di Kedah menggunakan semburan cat berwarna hitam itu dipercayai berlaku antara pukul 3.30 hingga 5 pagi dan hanya disedari pengawal keselamatan pada jam 5 pagi.

Premis perniagaan dan lebih 10 kenderaan di kawasan Kubang Pasu, Padang Terap dan Alor Setar turut diconteng dengan kata-kata yang mengaibkan "Perhimpunan 901".

Selain itu, Pejabat Umno Padang Terap, pusat beli-belah Angsana dan restoran KFC, Kuala Nerang serta dua bas henti-henti dicat dengan kata-kata yang sama.

Ketika ditanya kemungkinan insiden-insiden tersebut merupakan usaha untuk sabotaj perhimpunan Pakatan, Tian berkata, ia terletak di bawah bidang pihak berkuasa untuk membuat siasatan terperinci ke atas insiden berkenaan.

"Itu saya serahkan kepada pihak polis untuk siasat. Kita sudah dimaklumkan, bahawa laporan polis telah dibuat. Kita tidak mahu lari daripada isu pokok di mana semua yang berlaku ini adalah sebahagian daripada konspirasi untuk menjatuhkan Anwar," ujarnya.