SHAH ALAM, 7 JAN : Datuk Dr Hasan Ali diingatkan supaya sedar bahawa kejayaan yang dimilkinya hari ini adalah atas bantuan dan ihsan Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga melayakkan beliau memenangi pilihan raya ke-12 sekaligus menduduki jawatan Exco Selangor.
Ketua Penerangan KEADILAN Selangor, Shuhaimi Shafiei berkata Hasan dilihat seolah-olah terperangkap dengan hujah ‘counter-intelligence' UMNO bahawa kes mahkamah Anwar adalah isu yang bersifat peribadi.
"Isu ini adalah isu nasional. Buktinya adalah perjuangan beliau (Anwar) dan rakan-rakan semuanya berlandaskan kepentingan rakyat. Polisi Pakatan Rakyat dimodelkan atas premis primer ini dan kini Rakyat dapat merasakan hasil titik peluh mereka sendiri walau dinafikan oleh UMNO selama ini.
Sedangkan UMNO dan PDRM (Polis DiRaja Malaysia) sendiri menyatakan bahawa ini melibatkan keselamatan persekutuan! Bagaimana Hasan boleh mengatakan ia bersifat peribadi?" soal beliau.
Shuhaimi berkata demikian menerusi satu surat terbuka bagi mengulas kenyataan Hasan yang bertegas untuk tidak menyertai Perhimpunan 901:Bebaskan Anwar pada 9 Januari ini.
Justeru, beliau menyeru Hasan supaya segera memuhasabah diri selain tidak bertindak melulu dalam membuat kenyataan mahupun keputusan terutama melibatkan kredibiliti Pakatan.
"Saya menyeru agar Datuk Hasan jangan terlalu mengikut perasaan. Jangan kita merajuk sampai terlupa kita sebenarnya membakar rumah kita sendiri. Masih ada ruang ‘untuk berjiwa besar' dengan menoleh sejenak ke belakang.
"Apakah langkah Datuk sederap dengan pimpinan, atau ia semakin sumbang? Datuk lebih mengerti dengan maksud ‘kura kura dalam perahu'," ujar Shuhaimi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sri Muda.
Kelmarin, Hasan menggesa orang ramai supaya mengikut jejaknya untuk tidak hadir di perhimpunan tersebut kerana menganggap kes Anwar sebagai isu peribadi yang bukan melibatkan kepentingan negara.
Perhimpunan itu dianjurkan oleh PKR dan akan dihadiri oleh pemimpin dan penyokong Pakatan sebagai menunjukkan sokongan kepada Anwar apabila Mahkamah memberi keputusan pada tuduhannya meliwat bekas pembantunya Saiful Bukhari Azlan.