Rafizi: Enam Skop Audit Untuk Siasat NFC

SHAH ALAM, 19 JAN: Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli mempertikaikan kesungguhan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk melantik firma juru audit untuk menyiasat dan membongkar penyelewengan dana rakyat yang berlaku di dalam NFC.


Menurut kenyataan medianya, Rafizi berkata juru audit yang di pilih tersebut perlulah memenuhi enam (6) skop utama.

1) Menyiasat proses membuat keputusan di peringkat tertinggi kerajaan untuk memastikan tiada campur tangan politik dalam meluluskan projek NFC serta penganugerahan projek kepada keluarga menteri. Ini termasuklah menyemak semua minit mesyuarat untuk menentukan keterlibatan setiap menteri terbabit serta menilai sama ada projek NFC mempunyai daya komersil untuk dibiayai kerajaan.

2) Menyiasat proses pemberian dana kepada NFC oleh Kementerian Kewangan untuk menentukan ia mengikut prosedur Perbendaharaan dan amalan terbaik (best practices). Ini termasuklah menyemak setiap pengeluaran dana (loan drawdown) untuk menentukan bahawa ia menepati syarat perjanjian dan tidak ada penipuan dokumen semasa permohonan mengeluarkan wang dibuat;

3) Menyiasat setiap perbelanjaan oleh NFC untuk memastikan ia benar dan tepat (true and fair) dengan matlamat penubuhan NFC. Ini termasuklah memastikan bahawa setiap perbelanjaan adalah berpatutan, berpada-pada, diluluskan dan ada kena mengena dengan aktiviti penternakan lembu seperti yang dimandatkan kepada NFC;

4) Menyiasat setiap pemindahan wang keluar dari NFC kepada pihak ketiga untuk memastikan tidak ada unsur penyelewengan. Ini termasuklah menyiasat segala pembelian harta, penubuhan syarikat-syarikat lain, perbelanjaan oleh syarikat-syarikat lain yang ditanggung NFC dan segala operasi oleh pihak ketiga yang ditanggung atau berkaitan dengan NFC;

5) Menyiasat setiap pembelian aset oleh keluarga Dato' Seri Shahrizat Jalil bermula dari tempoh kontrak dianugerahkan sehingga sekarang, termasuk pembelian atas nama peribadi untuk menentukan sama ada dana NFC telah digunakan bagi tujuan peribadi; dan

6) Menyiasat setiap pembayaran besar dan berkala oleh NFC dan syarikat-syarikat berkaitan keluarga Dato' Seri Shahrizat Jalil untuk menentukan latar belakang pembekal dan individu terbabit yang berurusan dengan NFC. Ini bertujuan memastikan dana NFC tidak digunakan bagi membiayai kegiatan politik Dato' Seri Shahrizat Jalil atau mana-mana individu lain.

Menurut Rafizi, selain itu firma juru audit tersebut juga perlu membentangkan keputusan siasatan ketika sidang dewan Rakyat akan datang.

Dalam pada itu beliau juga bersetuju supaya sebuah Suruhanjaya Diraja dibentuk sebagaimana cadangan PAS dan DAP bagi menyiasat penyelewengan projek membabitkan RM250 juta wang rakyat tersebut.