Menurut Exco Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Teresa Kok yang dihubungi Selangor Kini menjelaskan lawatan tersebut adalah usaha berterusan kerajaan negeri untuk menarik minat pelabur asing bagi menanam modal dan memperkembangkan industri ke negeri ini.
"Pelabur Jepun berminat dengan suasana di Selangor dan delegasi memberi penjelasan kepada pelabur Jepun apa keistimewaan yang ada di sini," katanya.
Dalam lawatan selama dua hari ke Jepun itu, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim turut melawat Ibu Pejabat Sony Corporation dan mengadakan perjumpaan singkat dengan Naib Presiden Kanannya, Tsugie Miyashita.
"Kita ambil peluang ini melawat Sony dan berjumpa dengan pengurusan Toyota dan memahami apa masalah mereka. Kita mesti ada hubungan yang mesra dengan pelabur Jepun dan menjemput mereka untuk membawa pelaburan ke Selangor," kata Teresa lagi.
Dalam tempoh Januari hingga Ogos 2011, sebanyak 18 projek dari Jepun telah diluluskan dan menyediakan lebih 1,000 peluang pekerjaan.
"Kerajaan Negeri Selangor amat menghargai sokongan pelabur Jepun yang menjadi pelabur terbesar di negeri ini dengan jumlah pelaburan hampir RM1.2 bilion setakat Ogos lalu," katanya.
Turut serta dalam lawatan ke Jepun itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pelaburan Negeri Selangor (SSIC), Datuk Mohd Jabar Ahmad Kembali dan Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Jaafar Atan.