‘Jeneral' perang pilihanraya PKR, Timbalan Presiden Azmin Ali berkata Umno merasai bahang kemaraan Pakatan Rakyat di Johor dan mencari pelbagai strategi kotor dan tidak bermaruah untuk kekal memerintah.
"Saya menyerang habis-habisan Umno kerana bagi saya BN sudah tidak wujud. Parti komponen sudah tidak lagi wujud yang ada sedikit nyawa ikan itu adalah Umno. Sedikit sahaja yang sudah berada di tahap nazak. Sebab itu kita serang habis-habisan," katanya.
Azmin berkata prestasi Pakatan Rakyat di empat negeri yang ditadbir telah membuktikan gagasan itu mampu menawarkan masa depan yang berperikemanusiaan dan memberi manfaat kepada rakyat kebanyakan.
"Tan Sri Abdul Khalid telah mengupas panjang lebar tanpa Umno rakyat lebih sejatera dibawah pentadbiran Pakatan Rakyat seperti di negeri Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan," katanya.
Baru-baru, Ketua Audit Negara dalam laporannya pada 2010, memberi pengikhtirafan kepada pentadbiran Selangor dan Pulau Pinang atas kecekapan kedua-dua negeri itu dalam mengurus kewangan mereka.
Dalam seruannya kepada aktivis-aktivis PKR, khususnya yang beragama Islam, Azmin berkata mereka bertanggungjawab untuk menyelamatkan saudara-saudara mereka dari Umno.
"Umno tidak kenal konsep Hijrah kerana yang mereka tahu hanya ‘Dulu, Kini dan Selamanya'. Dulu Perompak, Kini Perompak dan Selamanya Perompak," kata Azmin sambil disambut tepukan gemuruh perwakilan.