Bukit Kepong: Muhyiddin masih mahu Mat Sabu minta maaf
MUAR, 15 Sept – Tindakan Timbalan Presiden PAS Mohamed Sabu yang mengeluarkan pelbagai kenyataan termasuk berbentuk ugutan terhadap kerajaan berhubung kenyataan kontroversinya mengenai komunis adalah bagi menutup kelemahannya, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Timbalan Perdana Menteri berkata ini kerana kenyataan Mohamad yang melabel pengganas komunis yang menyerang Balai Polis Bukit Kepong sebagai pejuang kemerdekaan sebenar telah membangkitkan kemarahan sebahagian besar rakyat.
“Untuk menutup kelemahan dia (Mohamad), dia tahu dia berhadapan dengan serangan hebat yang dia tidak terjawab... beliau tidak akan mampu menjawab sampai bila-bila kecuali dia meminta maaf,” katanya.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran dan Timbalan Presiden Umno berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan majlis pecah tanah hab pendidikan Pagoh di Ladang Lanadron, Pagoh di sini hari ini.
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri berkata, kerajaan telah menubuhkan jawatankuasa pilihan lhas bagi membincangkan perkara-perkara tentang proses pilihan raya umum di negara ini, termasuk pembaharuan jika ianya perlu.