Pendedahan Harussani Bukti Tuduhan Terhadap Anwar Fitnah



SHAH ALAM 26 OGOS : Pendedahan Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria bahawa Melayu-Islam berpecah kerana kerajaan yang lemah, tidak amanah dan rasuah dengan sendirinya menolak dakwaan ia berpunca daripada Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pakatan Rakyat, kata PKR.

Sebaliknya, Ketua penerangannya Dr Muhammad Nur Manuty mendakwa perpecahan Melayu-Islam hari ini adalah berpunca daripada "politik kotor" pemimpin Umno sendiri.

Malah, ia didakwa bermula daripada zaman bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohammad lagi.

"Dengan pendedahan yang dibuat ini, rakyat perlulah membuka mata dan menyatakan sikap menolak dengan tegas fitnah yang dilemparkan ke atas Dato Seri Anwar Ibrahim," kata Dr Muhammad Nur dalam kenyataan hari ini.

"Malah, semua yang cintakan keadilan perlulah bersama-sama bertanggungjawab dan bertindak untuk membela beliau dari segala kezaliman dan pembohongan berterusan sejak lebih satu dekad yang lalu,"katanya.

Dalam Wacana Ulama Politik Untuk Dakwah Atau Parti kelmarin, Harussani berkata, perpecahan Melayu yang berlaku disebabkan pentadbiran negara yang cukup lemah, rasuah dan tidak amanah.

Harussani juga berkata, orang Melayu berpecah selepas bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad memecat Datuk Seri Anwar Ibrahim pada September 1998.

Ditanya kembali mengenai pendedahan itu, Harussani berkata perpecahan Melayu berlaku disebabkan tiga faktor itu.

“Najib tanya kepada saya mengapa jadi macam ini (perpecahan Melayu), saya kata ia berlaku sebab kerajaan sekarang cukup lemah, tidak amanah dan rasuah.

“Sebab itu saya minta Najib perbetulkan, cari jalan... bukan hanya Najib, kerajaan dan rakyat juga perlu cari jalan untuk bersatu,” katanya.

Justeru beliau meminta Najib supaya mencari jalan untuk menyatukan semula perpaduan orang Melayu yang semakin parah.

Malah, langkahnya itu tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak termasuk dari dalam Umno sendiri.

Dalam pada itu, Manuty menyeru pemimpin UMNO supaya memuhasabah diri sekali gus menghentikan kezaliman ke atas Anwar demi perpaduan ummah dan seluruh masyarakat Malaysia amnya.

Tambahnya, beliau yakin selagi kezaliman terhadap Anwar tidak dihentikan, isu perpaduan Melayu-Islam tidak akan dapat diselesaikan secara tuntas.