SHAH ALAM 19 JUN : Sistem Pilihanraya yang telus dan adil merupakan rahsia kemenangan Parti Keadilan Turki, ujar Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR) Saifuddin Nasution.
Menurut beliau sistem pilihanraya yang baik ditambah dengan akses media yang sama rata diberikan kepada semua parti bertanding memberikan ruang kepada rakyat untuk memahami dasar perjuangan setiap parti dan menifesto yang ingin dilaksanakan apabila berjaya memenangi mana- mana pilihanraya.
“Rahsia kemenangan yang lain adalah organisasi parti yang baik. Di Istanbul ada 9 juta pengundi dan 1.5 juta daripadanya adalah ahli parti yang berdaftar,” katanya.
Saifuddin mengetuai wakil pimpinan PKR sebagai pemerhati pilihanraya Turki atas jemputan oleh Perdana Menteri Turki, Tayyip Erdogan yang turut disertai Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar dan Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul.
Kehadiran rombongan deligasi disambut oleh Umar Farouk yang juga sahabat karib kepada Ketua AMK, Shamsul Iskandar.
Pilihanraya Turki mempertandingkan 550 kerusi Parlimen dengan 84 calon daripadanya terdiri daripada kaum wanita.
Parti Keadilan dan Perkembangan mencatatkan kemenangan 47 daripada 85 kerusi yang dipertandingkan di Istanbul.
“Lalu apa yang memberikan kemenangan kepadanya ? Suruhanjaya Pilihanraya yang bebas dan adil tidak macam tempat kita. Yang itu yang kita nak berarak 9 Julai nanti. Tidak ada undi pos di Turki, polis undi di tempat mengundi, askar lain- lain pangkat tidak boleh mengundi pegawai sahaja yang boleh mengundi. Rakyat yang berada di luar negara diberikan tempoh sebulan pada mana- mana hari untuk pulang mengundi di sempadan negara Turki,” katanya.
Saifuddin berkata demikian ketika berucap pada ucaptama Rapat Anak Muda 13.0 di Dewan Jubli Perak semalam.
Beliau yang juga Ahli parlimen Machang turut melahirkan keyakinan kerana regim Barisan Nasional tidak mampu lagi berdolak dalik memandangkan sekarang adalah masa yang membolehkan rakyat didedahkan kepada praktis demokrasi negara luar.
“Sebab itu yang paling takut dengan rancangan perhimpunan kita pada 9 Julai adalah Umno Barisan Nasional. Sebab itu Ketua Pemuda, Khairy tiada pilihan lain, dia terpaksa umumkan mereka akan berarak untuk pertahankan sistem pilihanraya. Itu bukan datang dari niat yang betul- betuk nak praktiskan hak berhimpun.
“Dulu pernah pemuda Umno tahun 1987 bergaduh. Lee Kim Sai kata ini negeri bukan orang Melayu punya. Sultan selangor tarik anugerah ‘Datuk’ daripadanya. Datuk Najib, Ketua Pemuda Umno ketika itu himpun Pemuda Umno di Kampung Baru. Mandikan darah Cina dengan keris dan segala macam. Esok yang ditangkap semua pemimpin pembangkang.
“Najib dan Lee Kim Sai tak kena tangkap. Sebelum polis melakukan operasi Lee Kim Sai diarahkan ke Australia. Najib tidak disentuh pun. Drama ini boleh berulang sebab skripnya sama. Apakah ini akan menyekat kita untuk berhimpun? Tidak. Mereka Cuma boleh faham bahasa rakyat, mereka tidak boleh meperkotak katikkan rakyat,” katanya.
Beliau juga menggariskan tiga ciri utama sebagai asas untuk menjadi pemimpin berwibawa dalam memacu parti ke arah kejayaan yang lebih cemerlang.
“Saya sebutkan tiga kemahiran asas yang perlu ada pada anak muda. Pengucap awan yang bagus, penganjur yang bagus, dan penggerak yang bagus,” katanya.
Dengan tema ‘Yakin Berani Berubah’, Rapat AMK yang berlangsung di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah berjaya menghimpunkan 3,000 wakil AMK dari semua cabang dari Seluruh Malaysia.
Antara pimpinan PKR yang hadir adalah Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution, Adun Simpang Pulai, Chan Ming Kai, Adun Taman Medan, Haniza Talha, Adun Seri Muda, Shuhaimi Shafie, Timbalan Ketua AMK, Khairul Anuar Ahmad Zainudin (Jonah), Blogger Tukartiub, Hishamudin Rais dan Ketua Serikandi PKR, Siti Aishah Shaik Ismail.