Anwar : Jadikan 2011 Tahun Rahmat Bagi Sarawak




MIRI 9 APRIL : Jadikan 2011 tahun rahmat untuk membuat perubahan – itu gesaan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada rakyat Sarawak yang akan keluar mengundi memilih kerajaan negeri pada 16 April ini.

Beliau menegaskan sudah tiba masanya, rakyat yang menghuni sebuah negeri yang amat kaya dengan hasil bumi bangkit menjadi menghadapi gerombolan penindas yang zalim merompak kekayaan selama hampir 50 tahun.

"Marilah kita sama-sama jadikan tahun 2011 ini sebagai satu tahun rahmat bagi Sarawak dengan membuat perubahan.

"Kalau kita mengkaji sejarah negara akan dapati terdapat fasa-fasa dalam perjalanan sejarah negara yang memperlihatkan perubahan besar. Saya yakin tahun 2011 adalah fasa penting untuk kita membuat perubahan di Sarawak ," kata Anwar kepada lebih 3,000 penyokong pada majlis pelancaran manifesto Pakatan Rakyat di Taman Mors Jaya, Miri malam tadi.

Beliau menegaskan masa sudah tiba untuk rakyat berhenti menjadi pemerhati pasif kepada perompakan hasil mahsul Sarawak yang memperkayakan Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud dan pemimpin BN lain termasuk kerabat keluarga dan kroni mereka.

"Jangan biarkan Taib atau Najib (Razak) atau Rosmah (Mansor) sekalipun menentukan nasib kita. Kita sendiri mesti bangun dan tentukan nasib negeri ini demi masa depan anak cucu kita. Sudah cukup rakyat Sarawak menderita miskin disebabkan kerakusan BN. Sekarang masa yang amat sesuai untuk berubah," tegas beliau disambut tepukan gemuruh daripada hadirin

Pada satu lagi ceramah umum yang dihadiri jumlah penyokong lebih 10,000 selepas itu di Kuching Waterfront, Anwar berkata sekiranya perubahan tidak dilakukan pada pilihan raya 16 April depan, BN dengan sombong dan bongkak akan terus memijak hak rakyat Sarawak.

"Mereka (BN) mengaut puluhan ribu ekar untuk diri dan keluarga mereka manakala kita berdiam diri. Kekayaan negeri ini harus diagihkan secara adil kepada semua rakyat Sarawak tetapi apa yang kita lihat sekarang yang di atas mengaut semua dan rakyat di bawah tidak dapat apa-apa," laung Anwar.

Turut hadir pada majlis itu Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, Ahli Parlimen Rasah Anthony Loke, Ahli Parlimen Machang Saifuddin Nasution Ismail serta calon-calon ahli dewan undangan negeri daripada Parti Keadilan Rakyat dan DAP.

No comments: