SHAH ALAM 16 MAC : Kerajaan Negeri dengan kerjasama Lembaga Zakat Selangor (LZS) yang dibantu oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Tourism Selangor berjaya menghantar pulang sekurang-kurangnya 750 pelajar Mesir dari negeri ini pulang untuk menyambung pengajian mereka.
Penghantaran pelajar ini dibuat secara berperingkat-peringkat bermula Ahad lalu untuk menghantar kesemua 996 pelajar di negeri ini.
Hari ini sahaja menyaksikan 250 baki penuntut dihantar pulang ke Mesir dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan terus ke Kaherah.
Salah seorang pelajar yang ditemui Tv Selangor, Noor Amali Bakri mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri sambil memuji kelancaran proses penghantaran yang dikendalikan oleh kerajaan negeri.
"Saya mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri Selangor yang sudi membantu pelajar selangor.
"Dari segi perjalanan sangat teratur dan mudah bagi kami untuk tahu keadaan semasa, dan segalannya berjalan lancar setakat ini dari segi visa dan pasport
diuruskan kerajaan negeri Selangor,"ujar beliau.
Sementara menurut pelajar tahun dua Universiti Alexandria, Mohd Shahir Nadzir, kerajaan negeri Selangor berjaya menjalankan tanggungjawab sosial dengan begitu baik sekali memandangkan Selangor mempunyai jumlah pelajar Mesir paling tinggi di negara ini.
"Saya ucapkan ribuan terima kasih atas usaha kerajaan negeri Selangor, seperti yang kita tahu pelajar Mesir dari Selangor adalah yang teramai, tahniah kepada kerajaan negeri kerana berjaya menghantar kebanyakannya pulang ke Mesir, setinggi-tinggi terima kasih dan tahniah kepada Kerajaan negeri Selangor," ujarnya.
Kerajaan negeri dan Lembaga Zakat Selangor memperuntukkan RM2.14 juta untuk menghantar pulang pelajar Selangor melanjutkan pengajian mereka kembali di Mesir.
Jumlah tersebut meliputi 556 pelajar tajaan negeri dan 440 orang lagi adalah di bawah tajaan LZS.
Tinjauan Tv Selangor di perkarangan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam mendapati pelajar dan ibu bapa memenuhi kauter pendaftaran mengantar
pulang anak mereka ke Mesir seawal jam 3 petang tadi.
Ibu bapa yang ditemui juga turut melahirkan rasa bersyukur di atas bantuan yang dihulurkan kerajaan negeri Selangor.
"Saya sebagai bapa, saya bersyukur keatas bantuan yang diberikan kerajaan negeri dan kebimbangan kami selama ini sudah selesai dan tidak ada lagi kebimbangan," ujar Hj Bakri Hj Hassan, bapa pelajar yang ditemui di Masjid Shah Alam petang tadi.
Sementara itu, Sakip Mansor pula berkata, beliau tidak merasa bimbang untuk menyerahkan tanggungjawab menghantar anaknya pulang menyambung pengajian dengan inisiatif kerajaan negeri Selangor.
"Saya merasakan sangat yakin dengan inisiatif dan perancangan dari pihak yang bertanggungjawab ini untuk menguruskan pemergian pelajar-pelajar ini dan saya
tidak rasa ragu-ragu untuk melepaskan anak saya kerana saya rasa ia terjamin untuk anak saya sampai ke destinasi yang dituju," katanya.
Dalam pada itu, kerajaan negeri Selangor juga telah menghantar pegawainya ke Mesir untuk memastikan penghantaran pulang pelajar ini berjalan lancar manakala Tourism Selangor pula menguruskan penerbangan pulang pelajar-pelajar ini.
"Kami juga mengucapkan terima kasih atas kerjasama yang diberikan oleh ibu bapa yang sanggup menghantar anak mereka ke sini, kami juga ada menerima ucapan
terima kasih daripada ibu bapa ketika kami sedang menguruskan pendaftaran pelajar," ujar Md Saad Mahsah, salah seorang pegawai yang bertugas.