Bekas mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata kepercayaan sesetengah pihak bahawa adalah haram untuk mengkritik atau mempunyai pendapat yang berbeza dengan Raja-Raja Melayu, seolah-olah menyamakan kedudukan mereka dengan para Nabi.
Sebaliknya, kata Dr Asri, Raja-Raja Melayu bukanlah Nabi yang maksum sehingga tidak boleh dikritik.
“Sedang para al-Khulafa al-Rasyidin iaitu Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali yang jauh lebih mulia daripada sultan-sultan pun dikritik dan dibantah oleh rakyat mereka.
“Namun mereka menjawab dengan penuh amanah, wibawa dan mereka tidak membunuh pengkritik mereka. Bahkan berterima kasih,” katanya dalam satu kenyataan media.
Menurut Dr Asri, ada beberapa kejadian yang sahabat tidak bersetuju dengan cadangan Nabi Muhammad SAW dan membantah keputusan baginda seperti yang berlaku ke atas Umar ketika perjanjian Hudaibiyyah. Namun, tambahnya, Nabi tidak membunuh beliau.
Justeru, katanya, cadangan beberapa pertubuhan bukan kerajaan dan pemimpin politik agar golongan yang mencadangkan pengkritik Raja-raja Melayu dihukum gantung, sebenarnya lebih hina dan besar dosanya daripada menggalakkan pemerintah berzina, atau berjudi atau minum arak atau semua maksiat yang lain.