Mohd Sabri Said |
PERMATANG PAUH, 7 Dis: "Pemimpin sepatutnya berlapar kerana rakyat bukan rakyat berlapar kerana pemimpin," kata pensyarah Universiti Utara Malaysia, Dr Ahmad Bashir Abdul Aziz. Beliau menyatakan ketika menyampaikan ceramah pada Sambutan Maal Hijrah 1432H Peringkat Negeri Pualu Pinang di perkarangan Masjid Daerah Seberang Perai Tengah, Bandar Perda, malam tadi. Menurutnya, pemimpin hari ini wajar meniru apa yang Rasullulah s.a.w lakukan sewaktu berusaha mengorek parit ketika menghadapi perang Khandak yang mana Baginda turut bersama sahabat bertungkus lumus bekerja mengorek parit untuk menghalang kemaraan tentara kafir. Tetapi, katanya hari ini orang kenyang dengan makanan sehingga tidak menghiraukan Islam serta membiarkan rakyat menderita dengan masalah. Hari ini, katanya ada juga rakyat terpaksa meletakkan batu di atas perut bukan kerana menahan lapar sebaliknya kerana terlalu kenyang atau kata lain 'mengah' dengan tujuan membuang angin. Ketika Baginda sedang menahan lapar rupa-rupanya Abdullah bin Jabir sedang melihat kelakuan Baginda, maka terus menghampiri untuk mengajak Baginda makan kerana ada sedikit makanan di rumahnya. Selepas diberitahu sambungnya, Rasullulah s.a.w memanggil semua sahabat dan petugas yang begitu ramai untuk bersama menikmati makanan yang ada di rumah Abdullah bin Jabir. "Sekali lagi menyaksikan Baginda s.a.w bukan orang yang tamak atau mementingkan diri sebaliknya mementingkan rakyat untuk bersama menikmati makanan yang ada. “Jika kita, yang penting sapu dulu baru bagi tahu orang," ujarnya diiringi ketawa orang ramai. Beliau menambah, apabila Rasullulah tiba di rumah Abdullah, Baginda berpesan agar isterinya tidak mengangkat makanan daripada dapur apabila siap masak dan meletakkan tangan di atas makanan serta berdoa. Akhirnya, makanan yang boleh dimakan dua hingga tiga orang dapat dinikmati oleh ribuan sahabat yang lain. “Kalau hari ini ramai orang hilang tanggungjawab untuk menjaga kepentingan umum sebaliknya lebih kepada mengutamakan dirinya,” ujarnya. Walaupun Baginda s.a.w berhadapan dengan adu domba, fitnah, provokasi dan cabaran yang teruk tetapi Baginda menghadapinya dengan baik dan dilihat mampu merealisasikan apa yang diinginkan oleh Islam. Justeru itu, katanya sikap tamak, kepentingan diri, bongkah dan berbangga diri hendaklah dibuang jauh sempena Maal Hijrah mudah-mudahan apa yang dilakukan mendapat keberkatan dari Allah SWT. Turut sama mendengar ceramah beliau ialah Tun Dr Abdul Rahman Abas, Ketua Menteri, Lim Guan Eng, timbalannya, Dr Mansor Othman, Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Farisan Darus, Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang (Maipp), Ustaz Elias Zakaria, ketua-ketua jabatan dan orang ramai. Sambutan kali ini juga menyaksikan Profr Madya Dr Radzi Othman dianugerahkan sebagai Tokoh Maal Hijrah. Manakala Tokoh Saudara Kita diberikan kepada Muhamad Asyraf Tan Abdullah, Ibu Mithali Puan Juriah, Bapa Mithali Haji Abdul Razak Zakaria dan Tokok Pendakwah dianugerahkan kepada Ustaz Roslan Che Ros. |
Pemimpin patut berlapar kerana rakyat
Pemimpin patut berlapar kerana rakyat