Penduduk mahu lampu jalan

Penduduk mahu lampu jalan


KEMALANGAN maut yang berpunca akibat ketiadaan lampu isyarat mungkin boleh berulang kembali jika kawasan jalan yang berbahaya tidak dipasang dengan lampu jalan. - Gambar Hiasan


KAMI penduduk masyarakat Orang Asli Kampung Penderas Kuala Krau, Temerloh mahu pihak berkuasa membina lampu jalan di kampung ini bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.

Permintaan kami adalah munasabah kerana kampung-kampung tradisional memiliki kemudahan itu malah ada juga perkampungan Orang Asli turut mempunyai kemudahan yang sama.

Sudah lama kami mahu lampu jalan itu kerana kawasan yang gelap dan perkara itu perlu diatasi kerana kami tidak mahu ketinggalan dalam arus pembangunan negara.

Perkara itu wajar diminta kerana kami penduduk di sini bimbang jika berlaku kejadian di luar jangkaan berikutan suasana persekitaran yang gelap.

Keadaan gelap menyukarkan penduduk di sini untuk keluar malam sama ada mengunjungi rumah saudara-mara atau membeli barang di kedai runcit berhampiran.

Kegelisahan itu wujud kerana takut keselamatan mereka terancam jika terdapat pihak tertentu mengambil kesempatan dalam suasana gelap dengan melakukan perkara negatif terhadap kami.

Selain itu, anak-anak yang keluar awal pagi ke sekolah cukup bimbang dengan keselamatan dan ia cukup merisaukan ibu-bapa untuk melepaskan mereka keluar pada waktu itu.

Permohonan itu wajar supaya tindakan pencegahan dapat dilakukan sekiranya terdapat orang luar yang tidak dikenali mengambil kesempatan melakukan kegiatan tidak berfaedah terhadap penduduk di sini.

Saya berharap supaya perkara ini mendapat perhatian dan permintaan itu diberi perhatian demi kesejahteraan dan keselamatan penduduk di kampung ini.

MAT DIAH, Temerloh

No comments: