BALA JUMPA POLIS PERANCIS

Bala jumpa polis Perancis malam ini
Harakahdaily

PARIS, 12 Julai: Bekas pegawai polis dan juga penyiasat persendirian, P Balasubramaniam akan bertemu dengan Polis Perancis jam 8 malam ini (jam 2 petang waktu Paris) untuk memberikan keterangan berhubung pembelian Scorpean.

Bala (gambar) akan bertemu dengan pasukan penyiasat kes ini di Direction Centrale de la Police (DNIF) di Nanterre Prefecture, Paris dengan ditemani peguamnya, Manjit Singh Dillon.

Di sana, Bala yang merupakan bekas pengawal peribadi sahabat Perdana Menteri, Datuk Abdul Razak Baginda yang berpaling tadah, dijangka menceritakan apa yang beliau tahu tentang pembelian dua kapal selam Scorpean yang bernilai RM6.7 billion dari firma DCNS, Perancis.

Mahkamah Perancis telah mengarahkan kes ini disiasat ekoran permohohan dari Suaram, sebuah NGO Malaysia yang melaporkan kes itu kepada mahkamah negara itu.

“Polis Perancis amat berminat untuk mengetahui apa yang bala tahu tentang komisyen yang diberikan pada tahun 2002 dalam pembelian kapal selam ini. Inilah apa yang saya diberitahu oleh peguam Bala. Dia bersetuju bertemu dengan pihak berkuasa Perancis dan akan memberikan kerjasama sepenuhnya," kata Pengarah Strategik PKR, Tian Chua dalam satu blog.

Minggu lalu, sebuah akhbar Kanada, Vancouver Sun melaporkan, roh Altantuya Shariibuu yang mati dibunuh oleh dua anggota pasukan khas polis Malaysia enggan berdiam diri.

Selepas gagal mendapat keadilan di Malaysia, ia kini mencuba nasibnya di Perancis pula dan nampaknya ia bakal meletup di sini selepas gagal di Kuala Lumpur, tulis Jonathan Manthorpe dalam akhbar itu. (Lihat reprint dalam harakahdaily.net/en)

Bulan lalu, pihak pendakwa Perancis yang mengendalikan kes Malaysia ini telah mengarahkan polis menyerbu pejabat DCNS untuk menyiasat dakwaan ini khasnya siapa yang menerima rasuah yang dilaporkan itu.

DCNS mempunyai rekod yang buruk dalam merasuah ahli politik. Di samping kes Malaysia, syarikat itu juga sedang di siasat dalam urusan penjualan senjata kepada Taiwan dan Pakistan.

"Semasa saya di Paris bulan lalu, saya berjumpa dengan ramai peguam Perancis dan mereka berkata, pembayar cukai Malaysia mempunyai kes yang kuat. Mereka percaya, ahli politik terkenal dari Malaysia dan Perancis terlibat dalam kes ini," kata Tian Chua.

No comments: