Anak Nik Aziz: Tiga sebab Umno tetap sesat tapi PAS berbeza


July 16, 2010
Nik Abduh berkata ayahnya Nik Aziz sering melontarkan “peluru panas” ke atas Umno.—gambar fail

KUALA LUMPUR, 16 Julai — Anak lelaki Menteri Besar Kelantan Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, tuduhan Umno bahawa PAS sesat “amat berat” tetapi ia jauh lebih berbeza daripada komponen BN itu kerana tiga faktor, antaranya Umno tidak berani bermuzakarah ataupun menjelaskan tuduhan-tuduhannya.

Kata Nik Abduh, oleh kerana beliau begitu faham dengan tuduhan PAS terhadap Umno sejak kecil lagi sehingga sudah menjadi kalih dengan isu sesat-menyesat ini bahawa “Umno adalah parti sesat.”

“Tuduhan ini berat. Kerana berat, maka PAS mengambil tanggung jawab penuh untuk menjelaskan, memuzakarahkan, mendebatkan dan mensyarahkannya bila — bila masa demi mengabsahkan tuduhannya itu,” katanya.

“Maka, saya begitu mudah untuk menjelaskan maksud ‘tuduhan’ PAS tersebut. Saya perturunkan di sini agar anda dapat melihat isi penting pertuduhan yang ingin sangat PAS perjelaskan kepada rakyat, sama ada ahli PAS atau ahli Umno agar semua rakyat memahami kedudukan pertelagahan Umno-PAS,” katanya.

Kata Nik Abduh, jika Umno tidak bertanggungjawab di atas tuduhannya mengatakan PAS parti sesat dengan mengelak penjelasan atau muzakarah atau debat untuk menilai kebenaran tuduhan mereka, PAS pula adalah sebaliknya.

“Setelah menuduh Umno sebagai sesat, palsu, batil, salah, menyeleweng, fasiq, zalim dan sebagainya, PAS tampil untuk menjelaskan dan bersedia bersemuka dengan apa cara sekalipun asalkan tuduhannya itu diikuti pula dengan penjelasan yang difahami sebaiknya oleh orang yang memerlukan kefahaman dan kejelasan,” kata beliau dalam tulisan blognya.

Kata Nik Abduh, ayahnya Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang juga Mursyidul Am PAS biasa melontarkan “peluru yang panas-panas” ke atas Umno dan semua tahu bahawa ia bertujuan menimbulkan polemik dan “kepanasan yang akan memaksa semua untuk memohon penjelasan beliau.”

“Adakah anda melihat beliau senyap, bersembunyi dan enggan menjawab dan mengulas lagi? Tidakkan?

“Sebelah Umno pula, macam contoh terdekat, Datuk Shafie Apdal yang menuduh PAS sebagai sesat, ke mana beliau apabila rakyat meminta penjelasan?

“Muka depan Harakah segera menuntut penjelasan, hujah dan bukti daripadanya dan Umno juga, tetapi tiada apa-apa selain kesepian dan senyap,” kata Nik Abduh dalam tulisan mempertahankan ayahnya dan PAS dalam isu tuduhan sesat-menyesat ini.

Sehubungan itu Nik Abduh turut mempertahankan pendirian PAS bahawa Umno adalah parti sesat kerana tiga faktor.

“Pertama, Umno sesat dari sudut dasar. PAS konsisten berhujah bahawa dasar kebangsaan atau nasionalisme adalah sesat, salah dan terseleweng daripada agama.

“Oleh kerana Umno secara jelas menjadikan kebangsaan sebagai dasarnya, maka Umno sesat dan menyesatkan rakyat Malaysia.

“Bagi PAS, dasar parti hendaklah Islam. Islam tulen sebagaimana dibawa Rasulullah,” katanya.

Selain itu tegas beliau, Umno sesat dari sudut matlamat manakala PAS konsisten berhujah bahawa membina negara demokrasi sekular yang menjadi matlamat Umno adalah sesat, salah dan menyeleweng daripada agama.

“Maka, Umno sesat dan menyesatkan rakyat Malaysia. Bagi PAS, matlamat hendaklah Islam juga dan matlamat Islam adalah menegakkan khilafah dengan membina sebuah negara Islam,” kata Nik Abduh.

“Ketiga, Umno sesat dari sudut wasilah dan cara membangunkan negara. Menghalalkan riba, arak, judi, pergaulan bebas dan mengharamkan hukum hudud misalnya adalah gambaran cara dan wasilah Umno menyusun, membentuk dan menyelesaikan masalah negara yang jelas keluar daripada pengajaran agama dan sunah nabi.

Justeru jelas beliau, kesediaan PAS memuzakarahkannya adalah bukti pertanggungjawaban PAS atau tuduhannya itu.

“Itu adalah persaksian yang sungguh gagah dan berani. Hujah adalah kemenangan dan mukjizat,” katanya.

Sambil mendakwa tuduh-menuduh sesama umat Islam adalah memilukan, memalukan dan merugikan, Nik Abduh menyoal mengapakah PAS yang mendakwa sebagai parti Islam terus membuat tuduhan terhadap Umno.

“Mengapa tidak dibiarkan Umno sahaja yang menuduh dan memfitnah?

“Ya, jawabannya adalah kerana amar makruf nahi munkar. Senyap melihat kemungkaran adalah satu dosa yang akibatnya telah diperlihatkan Allah kepada kita atas apa yang berlaku ke atas Bani Israel yang tidak mencegah kemungkaran sesama mereka,” katanya.

Nik Abduh yang juga ahli jawatankuasa Dewan Pemuda PAS berkata Umno kata PAS sesat dan PAS kata Umno pula sesat dan disebabkan saling sesat-menyesatkan, maka mereka saling bercakaran walaupun sebab utama percakaran bukanlah kerana tindakan saling lempar-melempar itu, tetapi kerana dasar perjuangan mereka yang berbeza.

Maksudnya jelas beliau, jika tak saling menuduh, tak sesat-menyesatkan pun mereka akan tetap bercakaran juga kerana percanggahan ideologi itu.

“Dari dulu lagi PAS kata Umno sesat dan dari dulu yang sama tempohnya juga Umno kata PAS sesat.

“Tak tahulah bila nak berhenti. Memang bila dah sesat, memang susah nak sampai ke penghujung, apatah bila dah saling sesat-menyesatkan, lagi-lagilah susah nak ketemu hujung habisnya.

“Hari ini saya tak kisah pun jika mendengar orang PAS kata Umno sesat dan begitulah jika saya dengar Umno kata PAS sesat juga. Sebabnya, dah kalih, dah lama sangat dengar cerita saling sesat-menyesatkan ini,” kata beliau.