Ahli keluar parti : PKR perlu ‘post mortem’ - Herman Samsudeen

Ahli keluar parti : PKR perlu ‘post mortem’ - Herman Samsudeen


Oleh Mohd Ali Bakri

KUALA LUMPUR : "Secara peribadi, saya syor Parti Keadilan Rakyat (PKR) segera membuat 'post-mortem' berhubung tindakan beberapa wakil rakyatnya yang keluar parti itu dan menjadi wakil rakyat bebas," kata Timbalan Ketua Dewan Pemuda Pas Wilayah Persekutuan (DPPWP) Herman Samsudeen.

Paling mendukacitakan, kata beliau, kebanyakan mereka itu telah berpaling tadah lalu menyokong BN, sehingga menyebabkan PKR hilang dua kerusi parlimen dan lima kerusi Dun kerana masalah ini.

"Pendekatan kepemimpinan PKR dalam menghadapi ahli-ahlinya yang bermasalah perlu dinilai semula. Berdasarkan rekod, kesemua mereka mempunyai masalah dan tidak berpuashati dengan kepimpinan parti," katanya dalam suatu kenyataan di sini, hari ini.

Tambah beliau, rakyat pasti kecewa dengan apa yang berlaku dan Umno pasti gembira kerana berjaya memporak perandakan Pakatan Rakyat (PR) melalui PKR.

"Ura-ura menyatakan bahawa ada lagi wakil rakyat PKR yang mahu lompat juga tersebar luas. Oleh itu, PKR tidak boleh anggap hal ini sebagai masalah kecil, kerana risikonya begitu besar kepada masa depan PR.

Fahami konsep wala' dalam Pas


"Pada saya, hanya PKR sahaja yang boleh selesaikan masalah ini dan Pas serta Dap juga perlu berhati-hati. Mungkin juga komponen Pakatan perlu berkongsi pengalaman tentang disiplin wala' dengan Pas," tambah beliau.

Herman berkata, walaupun ramai pihak mempertikai isu wala' dalam Pas, namun dalam keadaan begini, kita akan melihat betapa disiplin wala' itulah yang akan mempertahan kekuatan parti.

"Ada masa kita tidak bersetuju dengan kepimpinan dan ada masa kepimpinan tidak setuju dengan ahli, namun dengan berpegang pada disiplin wala' dan thiqah yang diajarkan Rasulullah, segala masalah dapat diselesaikan secara musyawarah dan tolak ansur," katanya.

Antara ahli-ahli parlimen itu, Datuk Seri Zahrain Mohamed dari Bayan Baru dan terkini, Tan Tee Beng dari Nibong Tebal.

Sementara itu, bagi kerusi dewan undangan negeri pula, menyaksikan tindakan Adun Behrang, Jamaluddin Mohd Radzi keluar daripada parti, diikuti Kapten (B) Mohd. Osman Jailu (Adun Changkat Jering), Gabriel Adit Demong (Adun Ngemah), Md Radzi Salleh (Adun Lunas), dan Badrul Hisham Abdullah (Adun Pelabuhan Klang).

No comments: