Ucapan penuh Raja Nazrin meraikan himpunan esei Prof Dr SMN AL- atas

Oleh Mohd Ali Bakri

Alhamdulillah, dengan kebesaran ALLAH YANG MAHA ESA, Majlis Pelancaran Buku, Knowledge, Language, Thought and the Civilization of Islam: Essays in Honor of Syed Muhammad Naquib Al-Attas, dapat dilangsungkan. Beta bersyukur kerana bersempena majlis pelancaran ini, dengan ketentuan Ilahi juga, Beta turut diangkat ke satu martabat kemuliaan apabila dipilih sebagai insan yang digandingkan dengan usaha mulia untuk memuliakan seorang sarjana Islam berwarga Malaysia. Profesor Syed Muhammad Naquib Al-Attas diiktiraf, disegani dan dihormati di serata dunia, sebagai pohon ilmu yang asli, teguh berakar di taman ilmu.

Syed Muhammad Naquib Al-Attas adalah insan istimewa, memiliki watak intelek, jiwa intelek, daya intelek dan roh intelek seorang Muslim, perintis dalam mempelopori idea mengislamkan pengetahuan; the idea of Islamization of knowledge. Beliau telah menghasilkan 29 penerbitan dalam pelbagai aspek pemikiran dan tamadun Islam, khususnya subjek-subjek menyentuh kosmologi, metafizik, falsafah, bahasa dan kesusasteraan Melayu. Beliau telah menyampaikan lebih 400 syarahan umum di negara-negara Asia, Amerika Syarikat dan Eropah.

Knowledge, Language, Thought and the civilization of Islam adalah penerbitan berkualiti tinggi, mengandungi 22 esei, hasil penyelidikan 24 sarjana; bertujuan merakamkan pengiktirafan kepada seorang ilmuwan Malaysia bertaraf dunia. 22 esei tersebut telah dihasilkan oleh para sarjana dari serata dunia; dari Afrika Selatan, Amerika Syarikat, Bahrain, Egypt, Gambia, Iran, Iraq, Jerman, Macedonia, Netherlands, Rusia, Turki dan United Kingdom, di samping sarjana-sarjana dari Malaysia. Setiap esei mengandungi kupasan dan huraian tersendiri, bersandarkan sudut kajian dan aspek analisis yang diberikan fokus. Namun setiap seorang daripada mereka, walaupun ada sub-disiplin kajiannya, mencapai satu titik pertemuan, mengiktiraf dan menghargai ketokohan, pemikiran dan kebijaksanaan Syed Muhammad Naquib Al-Attas.